Saturday, March 17, 2012

Cinta adalah Cinta ~ Bab 3


Sebaik memarkir kereta Kancilnya bersebelahan kereta Aida, dia keluar. Sudah dua hari kereta itu tidak bergerak dan sudah dua hari juga puterinya mengikut Asyhraf sekeluarga diiringi oleh Aida ke Hong Kong. Melihat pada basikal roda tiga kepunyaan Hadirah yang terletak di tepi porch tidak jauh dari tempatnya berdiri, dia terbayang Hadirah sedang mengayuh basikalnya dan bermain dengan arnab-arnab yang dipelihara oleh ayahnya.
Langkahnya perlahan menuju ke pintu rumah. Terasa begitu sunyi sekali tanpa Hadirah.
“Mas?” tegur Puan Hajar apabila dilihat Aina terpinga-pinga sendirian di tengah rumah. Kenapa dengan anaknya?
Dia menghampiri Aina memandangnya. “Kenapa?”
Aina menggeleng. “Rasa lain Dirah tak ada...” Dia tersenyum.
Puan Hajar tersenyum. Dia yang sentiasa berada di rumah begitu terasa. Ada kalanya tercari-cari sendiri dan baru teringat yang cucu itu sedang berseronok di Hong Kong. Tersenyum sendiri membayangkan wajah cucunya yang comel dengan pipi yang menggebu dan badan yang agak montel.
“Mas naik dulu, mak, nak solat.” Dia meminta diri untuk ke atas.
Disegerakan apa yang perlu didahulukan, kemudian barulah mandi dan mengenakan pakaian yang bersih. Mengenakan kembali telekungnya dan berbaring di katilnya semula sementara menanti masuk waktu maghrib. Dia cuba melelapkan matanya seketika. Tiba-tiba dalam khayalannya sepasang mata itu menerjah ruangan mimpinya. Terkejut, dia membuka matanya.
Astaghfirullah al’azim. Dia mengucap sambil meraup wajahnya. Mengapa mata itu yang bermain di mindanya kini?
Azan kedengaran di masjid berdekatan. Aina segera menutup tingkap dan segera bersolat maghrib.

Baru sahaja hendak melipat telekungnya, telefon bimbitnya berbunyi. Pantas dia menyeluk beg tangannya. Melihat ke skrin. Unknown Caller. Dibiarkan telefon bimbitnya berbunyi seketika. Kemudian suasana kembali sepi dan seketika kemudian telefon bimbitnya berbunyi lagi.
Dia mengangkat. Tersenyum.
“Assalammualaikum....” ucapnya lembut.
“Waalaikumussalam. Apa khabar?” soal Husnina di seberang sana.
“Alhamdulihllah... Nina apa kabar? Lama tak dengar berita.” Dia faham. Selepas bercerai dengan Lutfi Danish, adik iparnya itu membawa diri ke UK. Hampir dua tahun mereka bercerai, semasa umur Hadirah setahun lebih.
“Hmm, macam nilah. Nina kat rumah ayah ni...” jelas Husnina.
“Ya? Bila balik? Datanglah rumah.”
“Dua hari lepas. Nantilah... Dirah macam mana? Lama Nina tak tengok dia.” Rindu dia pada anak saudaranya itu.
“Dia ke Hong Kong, ikut Asyhraf dengan Kak Lina. Dee pun ikut sama...” jelas Aina. Tangannya kembali melipat telekung.
“Ya ke? Macam tu kita keluar? Esok Sabtu, tak kerja, kan?” cadangnya.
“Boleh juga...” Aina tidak berfikir panjang.
“Okey. Bagi Nina sejam. I fetch you lebih dan kurang satu jam ya...”
“Okey...” Aina benar-benar gembira.
Bila lagi dia hendak melayan dirinya sendiri? Bergegas dia menuju ke wardrobe. Baju apa yang hendak dipakainya? Baju kena bersesuaian dengan tudung. Hmm, pakai selendang aje. Apa susah? bisiknya dengan senyuman. Mujur dia teringat pada selendang yang dibeli oleh Hadi sebelum dia mengenakan tudung suatu ketika dahulu.
“Dah kahwin esok, semua ni jadi kepunyaan abang. Jadi abang nak Mas tutup rambut ni, lengan dan betis yang putih gebu ni. Pakai ikut keperluan seorang wanita Islam. Diri Mas hanya untuk abang bukan untuk tatapan lelaki lain...”
Itulah kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Hadi dan dibawa sehingga kini dan dia selesa begitu. Bertudung dan mengenakan baju berlengan panjang, biarpun suaminya sudah tiada amanahnya tetap dijaga. Air mata begitu mudah tumpah bila mengenang masa-masa lalu bersama Hadi. Pantas dia mengenakan sehelai blaus berlengan panjang dan jean hitam yang agak longgar.
“Kan cantik kalau Mas pakai macam ni. Perempuan kalau dah cantik, bertutup macam ni pun tetap cantik...” Hadi meletak selendang hitam diatas kepala Aina dan dililit di tengkuk tunangnya.
Dan, selendang itulah yang dihadiahkan oleh Hadi untuknya. Dia kemudiannya membeli beberapa jenis selendang yang sama tetapi berlainan warna. Dengan bantuan Salina dia mula belajar mengenakan tudung dan selendang secara yang sepatutnya dipakai oleh seorang wanita Islam. Maklumlah, Hadi begitu cerewet sekali.
“Kalau bertudung hanya menutup rambut, leher terbukak, baik tak payah pakai tudung. Leher ini aurat, aurat wanita yang boleh menggiurkan mata lelaki...” Panjang syarahannya, mengalahkan pak ustaz bila melihat artis-artis wanita yang bertudung tetapi leher terbuka.
Betul juga. Kalau macam itu tujuannya, lebih baik tak payah bertudung. Dia membenarkan kata-kata Hadi. Dan, dua minggu selepas rakyat Malaysia menyambut Aidilfitri, dia dan Hadi selamat diijabkabulkan.
           
Telefon bimbit berbunyi sekali lagi. Khayalannya dicantas.
Dia menatap skrin telefon bimbitnya. Unknown Caller. Siapa ni? soalnya. Kalau sekali dua mungkin salah nombor, kalau dah berkali-kali menelefonnya, itu yang menakutkannya. Dibiar telefon itu berbunyi sehingga berhenti.
Dia melangkah turun setelah bersiap seadanya. Langkahnya sekali lagi terhenti apabila telefon bimbitnya berbunyi.
“Dah sampai ada kat depan ni.” Suara Husnina di sebelah sana.
“Lima minit.” balasnya dan bergegas menuju ke bilik makan.
Kedua orang tuanya sedang menjamu selera di situ. Terkejut melihatnya berpakaian sebegitu di waktu begitu.
“Mas ada janji dengan Nina, dia baru balik dua hari lepas,” jelas Aina memandang kedua orang tuanya silih berganti.
“Yalah, jangan lewat sangat balik tu.” Encik Ayub mengangguk. Walaupun anak itu boleh membuat keputusannya sendiri, tetapi tanggungjawab itu kembali tergalas di bahunya setelah pemergian Hadi.
“Terima kasih, ayah. Pergi dulu, ibu, ayah.” Aina segera berlari keluar. Seperti anak-anak gadis hendak mendapatkan kekasihnya yang menunggu di luar.
Puan Hajar bangun mengiringi Aina. Biarpun dirasakan Aina sudah dewasa dan boleh menjaga dirinya, tetapi dia tetap bimbang. Kelihatan sebuah kereta Mercedes hitam di hadapan pintu pagar. Aina hilang ke dalamnya.
“Ke mana ni?” soal Aina sambil menarik tali pinggang keledar di sisi.
“Saloma Bistro. Ayah tunggu kita kat sana,” jelas Husnina sekilas memandang Aina di sebelahnya.
Kakak iparnya nampak ringkas sekali tetapi tetap ayu. Mungkin itu yang membuat arwah abangnya begitu menggilainya. Sayang, umur Hadi tidak panjang untuk bersama wanita jelita ini. Mungkin ini bahagian Aina, walaupun cantik, dugaan dan rintangan begitu hebat sekali. Tiada sesiapakah yang mengintai wanita ini? Pasti ada.
Sebelum bertunang dengan Hadi pun sudah ada yang mengintainya. Tetapi disebabkan cinta mereka begitu kuat, termetri juga ikatan suci itu. Siapalah dia untuk mempertikaikan semua ketentuan yang Maha Esa, hanya Dia yang tahu apakah makna di sebaliknya.

Saturday, January 14, 2012

Cinta adalah Cinta ~ Bab 2

Aina duduk di hadapan Encik Ridzuan yang asyik menatap komputernya. Kemudian beralih pada Aina di hadapannya. Tersenyum.
“Tahniah saya ucapkan. Aina memang berhak dapat sebegitu...” ucapnya dengan nada lembut.
“Terima kasih, Encik Ridzuan.” Itu sahaja yang dapat dikatakan.
“Okey, semua fail dan dokumen yang sulit saya akan serahkan kepada Aina kejap lagi, bersama beberapa CD untuk Aina buat reference di masa depan. Dalam seminggu ni saya akan serahkan dua task yang perlu Aina buat dan buat presentation pada board nanti. Seperti mana Aina lakukan sebelum-sebelum ini, jadi saya harap Aina tak ada masalah dalam hal tu, kan?”
“Ini yang buat saya lemah, Encik Ridzuan. Saya perempuan, yang lain semua lelaki. Encik Ridzuan fahamlan dengan Encik Adlan tu...” Aina tidak mahu mengulas lebih lanjut tentang CEO mereka.
Encik Ridzuan tersenyum. “Insya-Allah, masa nak present tu, GM baru dah masuk. He’s good, experienced in HR line. Hampir 15 tahun walaupun dia ada accounting background. Saya rasa dia lebih fleksibel,” jelas Encik Ridzuan cuba memberi keyakinan kepada Aina.
“Kita tak tahu lagi, Encik Ridzuan. Orangnya belum mula lagi. Mungkin fleksibel tempat lama, tetapi tempat ini pelik sikit,” getus Aina tidak senang Pengurus Besar yang baru dipuji walaupun belum tahu bagaimana gaya kerjanya.
“Insya-Allah, kalau ada masalah telefon saya...”
Aina hanya mengangguk dengan lemah. “Bila GM baru masuk...?”
Dia tidak sabar.
“Minggu depan dia akan datang, jadi bolehlah awak kenal dengan dia...” jelas Encik Ridzuan memandang anak buahnya. Dia yakin Aina dapat meneruskan apa yang akan ditinggalkan.
“Awak jangan lupa pulak, cubicle awak Syukri dah siapkan.”
“Saya selesa di situ.” Aina memuncung bibirnya di tempat yang tidak jauh daripada pandangannya dan Encik Ridzuan.
Assistant Manager, ada cubicle dia sendiri. Lagipun awak banyak buat confidential nanti...” jelas Encik Ridzuan lembut.
Lelaki itu seperti bapa kepada mereka, lembut tetapi tegas. Tidak pernah menengking walaupun perkara yang sama dilakukan.
Aina tersenyum dan mengangguk. “GM baru tu duduk di mana nanti?” soalnya.
“Buat sementara dia akan duduk di bilik ni, tunggu bilik di bawah siap,” balas Encik Ridzuan.
Alahai, dia akan duduk di hadapan Pengurus Besar baru. Hanya dinding cermin yang memisahkan mereka. Lecehnya, bisiknya sendiri. Aina menghela nafasnya sendiri.
“Jangan risau, Aina. Syed okey...” Dia berharap Aina dan Pengurus Besar itu kelak dapat bekerjasama. Bimbang juga kalau Aina tidak dapat menyesuaikan dirinya dengan Pengurus Besar baru itu nanti.
Aina mengangkat keningnya mendengar nama yang disebut oleh Encik Ridzuan tadi. Syed? Hmm, nama Pengurus Besarnya bermula dengan Syed atau Said, bisiknya sendiri. Malu nak bertanya, biarlah. Dia cuma berharap yang mereka boleh bekerjasama.
“Encik Ridzuan buat apa lepas ni?” soal Aina ingin tahu.
“Hmm, hujung bulan depan saya akan bawa emak saya pergi umrah. Lepas tu jalan-jalan ke Turki, Jordan, Dubai...” Senang mendengar soalan yang dirasakan ikhlas untuk dia menjawab.
Dalam ramai-ramai anak buahnya dia memandang menyenangi Aina. Entahlah, dirasakan begitu belas dia melihat seorang wanita yang baru berusia 22 tahun kematian suami dan ketika itu dia sedang mengandung dan bermacam-macam konflik yang dihadapi, terutama daripada pihak keluarga suaminya.
Biarpun Aina tidak pernah bercerita tetapi khabar itu menerjah juga ditelinganya. Kasihan dia melihat Aina, dia menyuruh Aina menyambung pelajaran. Aina akur dengan nasihatnya. Dan, disebabkan itu dia tidak mahu Aina mensia-siakan apa yang dipelajarinya. Mungkin ini juga rezeki berkat ketabahan dan kesabarannya.
“Encik Ridzuan tak mahu buka company ke? Kalau tak boleh saya kerja dengan Encik Ridzuan...”
Encik Ridzuan tergelak besar mendengar pengakuan Aina yang sudah mengalah awal-awal sebelum menjalankan tugasnya sebagai Penolong Pengurus.
“Saya tak larat, nak berehat. Kerja, kerja, amal ibadat saya entah ke mana. Umur pun dah hampir satu abad. Tak ada apa yang saya nak bawak mati pulak kalau asyik kerja aje...” Encik Ridzuan bersandar kemas memandang Aina.
Gadis itu manis. Kalau dia punya anak lelaki lagi memang sudah dipinangnya Aina. Dia hanya mempunyai seorang anak lelaki yang sudah berkahwin dan dua orang anak perempuan.
“Yalah, kalau ada company sendiri boleh adjust masa kita, kan...?” Aina seperti memujuk dan memberi cadangan kepada bosnya.
“Tak apalah, berilah pada orang muda pulak. Syed okey, saya kenal dia dah lama.”
Lelaki itu menyebut lagi nama lelaki yang mengelirukannya. Muda, tapi sudah lama mengenalinya. Mana satu ni? bisik Aina keliru dengan kata-kata Encik Ridzuan, tetapi dibiarkan.
  

Thursday, January 12, 2012

Cinta adalah Cinta ~ Bab 1

Lagu Glenn Fredly berjudul Januari diiringi tiupan klarinet Kenny G, mendayu-dayu di dalam ruang kereta Aida. Aida memandang Aina yang sudah jauh mengelamun. Diperlahankan sedikit.
“Betul tak nak ikut?” soal Aida memandang Aina yang masih memandang ke luar. Memintas lamunan kakaknya yang entah ke mana. Begitulah Aina. Senyap. Sepatah ditanya sepatah juga dia menjawab.
Aina memandang Aida dengan gelengan kepalanya.
“Dee pergilah....” kata Aina kembali memandang ke luar.
Kereta di hadapan tidak langsung bergerak sejak 10 minit tadi. Beginilah Kuala Lumpur. Kalau hujan setengah jam, lebat, pasti satu Kuala Lumpur akan banjir dan akan diselaputi oleh lumpur. Memang patut dinamakan ‘Kuala Lumpur’.
“Ikutlah sekali. Sampai bila nak terperuk di rumah aje? Anak dah berjalan keliling dunia...”
Begitulah mereka. Saban cuti sekolah, Asyraf dan Amsyar pasti akan membawa anak-anak mereka berjalan. Hadirah memang tidak pernah dilupakan biarpun Aina tidak ikut bersama. Selalunya Aida yang akan menemani anak saudara kesayangannya. Bukan kesayangannya sahaja. Mungkin disebabkan status Hadirah, dia menjadi kesayangan seluruh keluarga mereka.
Aina menggeleng. “Kak Mas banyak kerja...”
Sebenarnya kalau dia mahu boleh, tetapi entahlah... sejak Hadi pergi memang dia tidak berkeinginan hendak ke mana-mana. Dia lebih senang duduk di rumah. Keluar pun hanyalah pergi membeli keperluan rumah atau barang-barang Hadirah.
“Kerja kalau nak diikutkan memang tak habis-habis, kak. Bawak-bawak berjalan...” Aida menongkat kepala dengan sikunya yang disandar di cermin tingkap. Dihela nafasnya melihatkan kereta yang masih tidak bergerak.
Aina senyap. Pandangannya dilontar pada kereta sebelah. Begitu mesra sekali lelaki dan wanita di kereta sebelah. Ingatannya kembali kepada suatu waktu dahulu. Dia menggeleng sendiri. Tidak sanggup untuk melihat dan pandangannya kembali merenung ke hadapan. Kereta di hadapan sudah mula bergerak seperti semut. Tak apalah, asalkan bergerak. Punggungnya sudah panas walaupun duduk di kerusi empuk kereta Aida.

Mereka akhirnya sampai tepat pukul 8.30 malam. Berlari Hadirah mendapatkan Aina. Anak itu dipeluknya seperti setahun tidak berjumpa. Aina tersenyum memandang Hadirah yang sibuk bercerita kisah setengah harinya di tadika.
“Mama penat, sayang. Dirah pergi tengok Barney. Nenek dah bukak tadi, kan?” pujuk Puan Hajar dengan senyuman.
Aina hanya tersenyum. Hadirah tidak mempedulikan pujukan Puan Hajar, terus-terusan dia bercerita. Aina sesekali ketawa mendengar ayat-ayat yang diguna agak tunggang-langgang dan pelat sedikit. Tak mengapalah. Begitu pun dia sudah pandai bercerita.
“Okey, mama nak mandi, nak solat. Dirah pergi tengok Barney ya, sayang? Nanti mama bacakan Snow White and Seven Dwarfs, ya...?” pujuk Aina lembut. Ubun-ubun anak itu dikucup dengan penuh kasih sayang.
“Okey...” Hadirah berlari semula masuk ke family room.
Kedengaran suara ayahnya. Entah apa yang diusik oleh atuknya, membuatkan mulut si kecil bising. Encik Ayub kedengarannya ketawa besar.
Aina dan Puan Hajar senyum. Aida sudah hilang ke atas.
“Pergilah mandi, solat  dulu, lepas tu turun makan...”
Aina hanya mengangguk dan melangkah naik menuju ke biliknya. Selepas Hadi meninggal, Encik Ayub, Asyraf dan Amsyar tidak membenarkan dia tinggal bersendirian, walaupun kalau diikutkan Aina mampu untuk menduduki sebuah apartmen bersama Hadirah. Dia menghela nafasnya. Terpaksa qada’ solat maghribnya, segera dia masuk ke bilik mandi yang bersambung dengan biliknya.
“Mak andak datang tadi...” Puan Hajar membuka cerita kisah petang tadi. Memandang kepada suaminya yang asyik bermain dengan cucu kesayangannya.

Hmm, nak apa?” soal Aida dapat diagak.
Mak saudaranya yang dua pupu kepada ibunya sudah menjadi pencari jodoh untuk Aina. Hai, kesemuanya untuk Aina, dia tak ada ke? soalnya sendiri. Dia tersenyum. Zahir nak letak mana pulak ya? desisnya sendiri. Senyum. Memandang pada Aina yang sudah hendak bangun apabila mendengar nama Mak Andak disebut.
“Mas, dengarlah dulu...” pinta Puan Hajar memegang tangan anaknya.
Dia faham dengan perasaan Aina. Yalah, siapa yang tidak sayang kepada suami? Bukan bercerai hidup tetapi bercerai mati. Ketika itu masih baru lagi perkahwinan mereka, belum menginjak ke setahun pun. Tetapi, tiada apa yang dapat menahan maut yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Aina duduk semula. Memandang pada Hadirah yang sedang tergelak-gelak digeletek oleh Encik Ayub.
“Bukan apa, Mas, ibu bimbang. Sampai bila Mas nak macam ni?” soal Puan Hajar lembut merenung ke wajah anaknya.
Dia juga agak terkejut.
Ini kali ketiga mak andak datang dengan membawa peminangan daripada orang yang sama. Dia tidak dapat memberi jawapan bagi pihak Aina. Kalau ikutkan mahu sahaja dia menerimanya. Padanya tidak salah untuk Aina berkahwin lagi. Adalah orang yang akan menjaganya kelak.
Aina memandang wajah Puan Hajar. Perkara inilah yang paling tidak disukai untuk dibincangkan. Buat masa ini hatinya tertutup rapat. Dia tidak mahu sesiapa pun menggantikan tempat Hadi. 
“Mas belum sedia, bu. Tolong jangan paksa Mas,” pintanya dengan lembut. Tunduk memandang jejarinya sendiri.
“Sampai bila?” soal Puan Hajar lembut. “Ibu risau. Esok atau lusa mungkin ibu dan ayah tak ada lagi. Siapa yang nak tengok Mas...?”
“Insya-Allah, bu, Allah kan ada. Dia tidak akan meninggalkan kita bersendirian,” ujar Aina lembut. Sedih mendengar kata-kata Puan Hajar.
Terkedu Puan Hajar mendengarnya. Aida senyap, menatap TV yang sudah bisu. Hanya melihat aksi pelakon yang entah apa-apa.
“Mas naik dulu...” Aina bangun sambil memanggil Hadirah mengajak naik untuk tidur. Dia akan membaca buku-buku kisah nabi-nabi atau kisah-kisah dongeng yang memang disukai oleh puterinya.
“Biarlah dia, Jar. Jangan paksa dia, esok pindah pulak dia dari sini. Awak nak macam tu?” soal Encik Ayub. Dia tidak mahu mendesak Aina dalam soal jodoh. Mungkin sudah ketentuan Allah anaknya itu menjadi balu di waktu usia semuda itu. Tetapi nak ditolak macam mana?
“Kalau dia bahagia begini, biarlah. Saya pun tak mahu Dirah tu jauh dari mata kita....” Kasihan dia melihat cucunya yang seorang itu. Sebolehnya sepenuh hati dia mahu menumpah kasih sayang kepada cucu itu.
“Bukan apa, bang, saya bimbang. Entah esok saya tak ada, macam mana dengan dia dan Dirah? Tak ada orang lelaki ni payah. Kalau orang buat apa-apa kat anak kita?” Teringat apa yang berlaku seminggu selepas Hadi meninggal. Tidak disangka begitu sekali tindakan besannya yang amat dihormati. Kasihan anak dan cucunya.
Encik Ayub faham dengan maksud isterinya. Dia menghela nafasnya.
Aida bangun lalu menutup TV, kembali duduk di sofa tadi.
“Dahlah, bu. Insya-Allah, kami semua ada. Ibu janganlah risau sangat, nanti darah tu naik lagi...” pujuk Aida.
Ada kala dia berasa marah juga dengan Aina. Sikap Aina yang tidak seperti Aina yang dahulu. Lebih banyak mendiamkan diri, sukar dinasihati dan tidak mempedulikan perasaan kedua orang tua mereka. Dia sendiri tidak faham. Yalah, mungkin dia tidak berada di tempat Aina, tidak merasai kepiluan dan kesedihan yang dialami, tambahan membesarkan anak tanpa suami, mengandung bersendirian, segala sakit pening ditanggung sendiri dan melahirkan anak tanpa teman untuk dikongsi kegembiraan. Melihatkan ketenangan Aina ada kalanya air matanya menitis.
“Mana ibu tak risau, Dee. Tengoklah apa dah jadi dengan Kak Mas?” Dia menggeleng kepala. Tiada guna dia mengungkit semua itu. Mungkin ada hikmah yang tidak mereka nampak.
Tetapi dia kesal, kesal kerana hak Hadirah yang sepatutnya, telah diambil. Tidak tahukah besannya bahawa mengambil harta anak yatim adalah satu dosa? Itulah satu-satunya yang amat dikesali. Rumah dan kereta Hadi diserah oleh Aina setelah didesak oleh Puan Raihan walaupun ditentang hebat oleh Encik Hafizuddin dan Husnina. Aina yang tidak mahu kedua mertuanya bergaduh menyerahkan dengan rela hati. Mujur juga Aina masih punya pekerjaan walaupun sebelum itu Hadi begitu mendesak menyuruh Aina berhenti kerja.
“Dahlah, bu, ibu jangan risau...” pujuk Aida lembut.
“Tapi sampai bila? Kau esok lusa akan kahwin juga. Dan sampai bila Asyhraf, Amsyar dengan Ammar asyik nak tengok dia? Masing-masing ada anak bini...” keluh Puan Hajar bingung memikirkan tentang Aina.
“Sabarlah, Jar. Kita sama-sama berdoa untuk dia, biarkan dulu. Bukan mudah nak lupa orang yang kita sayang. Insya-Allah ada jodohnya, kahwinlah dia. Kalau tidak serahkan kepada Allah...” pujuk Encik Ayub lembut bangun dan duduk bersebelahan isterinya. Mengusap lembut lengan isterinya. Faham dengan perasaan isterinya yang begitu sedih melihatkan nasib yang menimpa Aina.
“Kita adalah kekuatan Mas untuk menempuh hidupnya. Jar kena kuat...” tambah Encik Ayub lagi.
Puan Hajar mengangguk-angguk. Hatinya sayu melihatkan ketabahan Aina.

Dia hanya menatap surat itu tanpa minat. Padanya apa yang dilakukan adalah kerana duit dan dengan duit dia dapat membesar Hadirah. Keperluan Hadirah yang selalu didahulukan. Dan sedikit-sedikit dia membuat simpanan untuk anaknya. Sedih juga bila akaun bersama Hadi diambil oleh Puan Raihan dan satu apa tidak ditinggalkan untuk anaknya. Itu yang membuat dia benar-benar terkilan dengan sikap emak mertuanya.
Tidakkah dia sedar yang Hadirah adalah darah dagingnya juga? Dia menghela nafasnya. Tak apalah, bisiknya sendiri. Dibuang jauh-jauh segela kenangan yang menyakitkan. Apa yang dimahukan kini adalah memberikan kehidupan yang baik dan terbaik untuk Hadirah.
Diletak surat itu ke dalam laci meja kecil di bawah meja. Dia memandang mejanya. Terletak foto Hadirah dan sekeping foto kecil wajah Hadi di sudutnya. Wajah mereka saling tidak tumpah.
Hey... congratulations, Assitant Manager.
Huluran tangan Julie disambut dengan senyuman yang kelat.
“I ingat gaji aje yang naik, tapi pangkat pun naik...” omel Aina.
Sebenarnya dia lebih suka pada jawatan lamanya. Kini dia akan selalu bertemu dengan Senior Management. Encik Ridzuan akan bersara tidak lama lagi. Segala tugas-tugas lelaki itu sudah berhimpun di mejanya. Apa yang didengari, mereka akan memansuhkan jawatan itu dan kini tanggungjawab di dalam jabatan itu sepenuhnya di atas bahunya. Matilah dia. Bolehkah dia mengalas tanggungjawab seberat itu? bisiknya sendiri.
“Tak apalah, two in one....” Julie ketawa.
“Eh! Jom, belanjalah I, Assistant Manager...” usiknya dengan sengihan penuh simpati.
“Ju, pleaselah... Don’t call me that, okay...” pinta Aina dengan senyuman sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Okey, tapi belanjalah I...” Terasa dirinya tidak malu meminta dibelanjakan. Ah! Dia dan Aina sudah lama berkawan, tiada apa yang hendak dimalukan, desisnya sendiri
“Okey, I belanja you... Kita ke Secret Recipes, ya? I nak beli coklat kek untuk princess I.”
Memang kalau ke restoran itu dia tidak pernah melupakan puterinya. Apa yang dimakan, terutama kegemaran Hadirah akan dibawa pulang. Kalau tidak begitu terasa tidak tertelan makanan yang dimakan.
“I tak ada hal punya. Ikut aje...” Julie tersengih sambil mengepit lengan Aina seperti tidak mahu melepaskan temannya.
Aina tersenyum senang. Julie memang begitu. Tidak pernah membuatnya sedih, sama seperti yang dikenalinya sebelum dia berkahwin dahulu.

Sesampainya ke Secret Recipes, mereka terus membuat pesanan.
Matanya memandang Julie ketika mendengar cerita daripada gadis di hadapannya.
“Siapa?” soal Aina ingin tahu.
“Tak tahu? Position dia overall. Overseeing HR, secretarial, legal, finance and security department. Jadi head of department hanya akan berbincang dengan dia dulu sebelum dibawa pada CEO dan Chairman,” jelas Julie.
Aina mengangguk-angguk sahaja mendengar cerita temannya itu.
“Bila dia masuk?” soal Aina ingin tahu. Matanya menatap ke wajah Julie.
“Tak tahulah...” balas Julie.
It’s strictly confidential. Kau jangan cakap dengan sesiapa pulak...” pinta Julie walaupun dia tahu Aina memang seorang yang terkenal dengan P & C, sehingga dia di gelar Miss P ‘N’ C oleh beberapa orang pengurus, kerana pandai menyimpan perkara-perkara sulit syarikat.
“Tak apa, nanti aku beritahu kat semua orang,” usik Aina menjeling Julie.
Is chosen by Encik Ridzuan sendiri...”
Meraka faham sangat dengan Encik Ridzuan yang begitu cerewet.
He’s more in HR line, but capable in finance. Jadi finance tak boleh nak kelentong dia,” jelas Julie lagi dengan senyuman.
Pesanan mereka sampai. Sepi seketika. Sekotak kek coklat terletak di tepinya. Aina memandang Julie. Boleh dibayangkan lelaki yang disebutkan oleh Julie. Seorang lelaki yang sudah berumur 40-an atau lewat 40-an seperti Encik Ridzuan. Leceh betul kalau dapat bos tua-tua. Belum apa-apa dah nak pencen pulak, dengusnya sendiri.
Last day Encik Ridzuan bila?” soal Julie ingin tahu.
“Minggu depan. Orang tua tu kan banyak cuti dia...” Aina mula menjamu hidangan yang berada di hadapannya.
“Tak buat farewell untuk dia?” soal Julie yang sudah menyuap Singapore Laksa. Memang itu adalah kegemaraannya. Kalau datang dengan Aina ke situ memang itulah menunya. Dah tak pandang makanan lain walau sesedap mana.
Next week, on his last day...” jelas Aina lagi.
Matanya melilau memandang sekeliling terasa mereka sedang diperhati. Matanya bertembung dengan sepasang mata hijau. Cepat-cepat matanya beralih pada wajah Julie yang memandang ke luar. Berdebar hatinya. Seperti ada sesuatu tentang sepasang mata itu. Tajam, mendebarkan dan ada rasa gerun. Bukan mata orang Malaysia hitam dan coklat tetapi berwarna kehijauan, cantik dan memukau. Tetapi tajam sekali.
Dia sendiri terkejut kerana bertemu mata itu. Lelaki muda yang dalam lingkungan 30-an itu duduk selang satu meja daripada mereka dan menghadapnya. Julie pula membelakangkan lelaki itu. Di hadapan lelaki itu ada seorang wanita, tidak pasti muda atau tua kerana wanita itu membelakanginya dan memakai tudung.
“Tak jemput CEO dengan Chairman?” soal Julie tidak memandang Aina.
“Entahlah. Kena jemput dia orang ke?” soal Aina ingin tahu.
“Suka hati...” Julie senyum. Faham sangat dengan kata-kata Aina. Temannya itu tidak berapa berkenan dengan sikap CEO mereka yang agak gatal sedikit biarpun sudah beristeri dan punya anak tiga.
Aina senyap. Memang dia tidak bercadang hendak menjemput keduanya. Kalau jemput seorang yang seorang lagi juga kena jemput. Baik tak payah jemput dua-dua, senang sikit kerja dia. Lega juga rasa hatinya apabila Pengurus Besar baru masuk. Taklah dia asyik kena menghadap Encik Adlan yang terkenal dengan kegatalannya dengan staf-staf perempuan yang masih gadis mahupun janda sepertinya.
“Cepatlah GM baru tu masuk. Aku tak sanggup nak menghadap lelaki miang tu,” cetus Aina.
Julie tertawa kecil sambil menghirup ice lemon teanya. “Pedulikan dia...”
“Memang aku tak pedulikan dia, tetapi dia pedulikan aku. Benci tau tak. Entah apa-apa listing yang dia nak, mengarut-ngarut. Menyampah aku. Direct pulak tu. Tak lalu pun dekat Encik Ridzuan. Eii...”
Julie ketawa kuat mendengarnya sambil menutup mulut.
Berkerut dahi Aina memandang Julie. Entah apa yang kelakar sangat, dia tidak pasti. Dia terus menghabiskan sisa laksa Singapuranya. Dia sengaja berlindung di sebalik Julie supaya tidak bertentang mata lagi dengan lelaki tadi.
Tiba-tiba lelaki tadi berdiri dan mata mereka bertemu kembali. Lelaki itu mengukir senyuman. Aina terkejut dan pura-pura tidak memandang. Lelaki itu melangkah ke kaunter untuk membayar makanannya. Beberapa ketika wanita yang duduk berhadapannya bangun dan menoleh kearahnya, dengan senyuman sambil mengangguk tanda hormat. Mata wanita itu tidak pula seperti mata lelaki muda tadi.
Mungkinkah wanita ini ibunya? Aina membalas senyuman itu. Seketika wanita itu berlalu bersama lelaki muda tadi.
Julie masih menghabiskan sisa kuah laksa, habis dihirupnya.
“Eii, malulah sikit. Kau ni...” rungut Aina apabila melihat Julie mengangkat mangkuk dan terus menghirup sebegitu.
Ya Allah, ada juga manusia di sini macam ni, desisnya. Malunya. Dia memandang kiri dan kanan. Mujurlah ramai yang dah keluar. 
“Kau ni betullah...” rungutnya melihat tingkah Julie yang kurang sopan.
“Sebab tak ada orang aku buat macam tu. Kalau ada orang, hmm... aku rasa kalau bakal mak mertua aku lalu, pasti dia kata cancel...” Julie ketawa di hujung kata-katanya.
Aina menggeleng dengan senyuman.
“Hmm... mujur tak ada calon lagi ya?” usik Aina.
Julie tersengih sambil mengelap bibirnya.
“Dahlah, dah 2.15 ni.”
Mujur juga pejabat mereka di atas sahaja, jadi mudah sedikit walaupun keluar lambat untuk makan tengah hari. Aina bangun dan menuju ke kaunter.
“Akak punya order tadi dah bayar,” jelas budak perempuan yang berbaju seragam biru.
“Eh! Akak belum bayarlah...” Aina mengeluarkan not RM100.
“Dah, ada lelaki bermata hijau tadi bayarkan untuk akak,” jelasnya dengan senyuman tanda hormat. Memang sudah dikenali walaupun tidak mengetahui nama Aina dan Julie.
Aina memandang Julie yang terpinga-pinga memandangnya. “Kenapa?”
“Ada orang belanja kita...” jelas Aina.
“Eh, bagusnya! Siapa?” soal Julie memandang cashier di kaunter yang tersenyum-senyum memandang mereka.
“Entahlah, saya tak pasti. Tapi mereka cakap dalam Bahasa Melayu. Nampak macam orang Arab...”
Aina memandang Julie. “Pakwe kau ke?” soalnya.
“Helo, akak. Aku taulah aku ni bukan Melayu tulin. Sepet macam ni Pak Arab mana suka? Bertudung comel macam ni yang dia suka tau tak...” usik Julie.
“Dahlah, rezeki kita nak dapat makan belanja orang yang tak kenal.” Dia menarik tangan Aina yang masih bingung dengan situasi itu. 

Wednesday, January 11, 2012

Jangan pernah berubah bab 2




“SIAPA?” soal Hanisha sedikit kuat. Wajah emaknya menjadi pilihan untuk ditatap. Pagi-pagi emaknya sudah buka cerita karut marut.
“Fahrin!” jawab emaknya dengan suara yang agak kuat juga.  Tidak mahu sama sekali kalah dengan suara Hanisha. Tentang itu Hanisha maklum benar.
“Fahrin Ahmad?” soal Hanisha cepat. Tiba-tiba saja pelakon kacak seorang itu melintasi ruang matanya. Kenapa wajah lelaki tersebut yang muncul dia juga kurang pasti tetapi bukankah nama Fahrin itu  sudah sebati dengan pelakon terlebih kacak itu?  Jadi tak salah kalau Hanisha tumpang sekaki meminatinya.
“Perasannya….!”
Cepat saja kepala Hanisha kena tolak. Kemudian dia tersenyum sambil sendiri. Dah nak terbalik agaknya dunia ini kalau dengan tiba-tiba Fahrin Ahmad yang bertanyakan tentang dirinya. Jauh panggang dari api.
“Fahrin Bin Baharin,” beritahu emak Hanisha dengan suara yang masih kuat. Macamlah Hanisha itu tak ada telinga. Agaknya jiran sebelah rumah juga boleh terkejut, bila emaknya seperti melaungkan nama tersebut. Sedang anak emaknya seorang pun tiada yang bernama Fahrin. Apatah lagi Baharin. Anak emaknya dua orang saja. Itupun dua-dua perempuan.
Hmm…Fahrin bin Baharin rupanya. Sedap juga namanya. 
“Apa kerjanya?” soal Hanisha lagi. Sambil itu dia meneguk teh o yang sudah terhidang di atas meja.
“Lukis-lukis pelan bangunan,” beritahu emaknya.
Sesungguhnya Hanisha percaya dan sangat yakin, ayat itu emaknya tiru seratus peratus dari mulut emaknya si Fahrin. Kalau tidak mustahil jawapannya begitu tepat
“Arkitek?” soal Hanisha agak lambat.
“Entah!” jawab emak ringkas.
Maka betullah ‘lukis-lukis pelan bangunan tadi’, ayat tiru.
Hanisha tahu juga sejak  dulu lagi, pengetahuan emaknya tidaklah sebanyak mana, tapi kalau setakat untuk buat cerita Hanisha rasa lebih dari mencukupi. Dan kalau Hanisha ajak berborak topik berkenaan tentu saja sampai subuh esokpun emaknya tahan. Silap hari bulan emaknya boleh beritahu menara berkembar itu si Fahrin yang tukang lukis pelannya. Kebolehan emaknya mengarang cerita sangat luar biasa. Tiada tolok bandingannya. Kadang-kadang Hanisha sendiri sukar untuk percaya, emaknya itu sedang bercakap benar atau sedang jadi tukang karut. Pun apalah yang terdaya Hanisha lakukan kecuali mengiyakan saja semua cakap-cakap emaknya itu.
“Umur?” soal Hanisha sekadar untuk menunjuk minat. Hendak menyedapkan hati emaknya jugak.
“30! Nak ke tidak?”
Huh!
Soalan emaknya kali ini tidak ubah seperti soalan Mak Cik Munah yang berniaga kain pasang dari rumah ke rumah. Bertanya tetapi bunyinya memaksa.
“Tengoklah macam mana….” Hanisha putuskan begitu. Iyalah benda yang emak tanyakan itu bukanlah sebarang benda. Benda yang orang lain juga tidak berani buat main.
“Nak tengok apa lagi. Emak dah tengok budaknya. Baik, berbudi bahasa. Ada rupa.”
Hanisha pandang lagi wajah emaknya.
Tadi emaknya bertanya  nak ke tidak, sekarang dah lain bunyi cakap-cakap emaknya. Rasa Hanisha bukan lagi cakap Mak Cik Munah tetapi tak ubah seperti cakap orang Pakistan yang memaksa orang beli karpetnya.
Hanisha tidak menjawab. Dia fikir lebih baik  berdiam diri seketika. Kalau dia menjawab sepatah, bakal menyusul berpuluh patah perkataan lagi dari mulut emaknya. Tak hairan kalau mencecah ratusan. Emaknya  dalam bab ini memang ‘terror’.  
Baik orangnya konon! Pada emaknya semua orang baik. Orang Pakistan yang jual karpet itupun emaknya cakap baik. Baik sangat-sangat!
Ada rupa? Mamak yang tebar roti canai di restauran berhampiran kediaman mereka itupun emaknya cakap handsome gila. Macam Salman Khan kata emaknya. Tapi Hanisha rasa perempuan tak berapa nak betul juga fikir dua tiga kali kalau nak mengorat. Bukan niat Hanisha untuk menghina, hanya melihat dari sudut pandangan mata emaknya, ‘ada rupa’ yang emaknya sebut itu bagaimana keadaannya.  
“Mak bukannya apa. Kamu tu sudah 28 tahun. Nak tunggu bila lagi? Nak harap cari sendiri nampak gaya sampai ke tualah macam tu.”
Dalam Hanisha tidak menjawab, masih lagi emaknya bersuara. Sempat pula menyindir.
“Dah ada orang berkenan,  baik terima sajalah,” tambah emak Hanisha.
Dah ada orang berkenan? Yang berkenan tu sebenarnya siapa? Emaknya si Fahrin  atau si Fahrin sendiri. Kalau anak, pernahkah lelaki tersebut melihat diri Hanisha? Atau terintai Hanisha di mana-mana? Di situ emaknya sudah salah fakta. Jadi kalau yang mula juga emaknya  sudah salah bagaimana untuk dia percaya yang seterusnya.
“Sebenarnya siapa yang berkenan, emak Fahrin atau si Fahrin tu sendiri!” Hanisha soal juga dengan soalan yang sama bermain difikirannya. Hanisha kira  soalan pendek itu bakal membuatkan emaknya melenting panjang.
            “Kamu ni banyak betul cerita. Nak tunggu orang dari bulan pinang kamu baru kamu terima?” Emaknya bercekak pinggang pula disebelah Hanisha.
            Bukankah sudah Hanisha cakap, emaknya bakal melenting.
            “Ada ke orang tinggal di bulan, mak?” Saja Hanisha hendak  mencari pasal. Hendak membuatkan emaknya tambah melenting.
            Sekali lagi kepala Hanisha menjadi mangsa. Pagi-pagi sudah kena tolak.
            “Kamu ingat kamu tu cantik sangat Hani?”
            “Hani tahu Hani tak cantik, tapi kena tahu jugak orangnya jenis yang bagaimana. Jangan main terima saja. Ini soal kahwin. Bukan macam kita pilih ikan kat pasar. Boleh pilih sesuka hati!” Hanisha bukan mencari alasan tetapi menjawab sebenarnya. Setiap kata Hanisha tuturkan dengan lembut dan elok. Manalah tahu mampu mengampu hati emaknya. Tapi hati emak Hanisha bukan seperti hati emak orang lain. Bercakaplah selembut sutera sekalipun belum tentu dapat melembutkan hati emaknya. Lainlah kalau disogok dengan karpet baru atau langsir baru, berbunyi macam katakpun senyum emaknya pasti sampai ke telinga.
            “Mak tak kira. Kali ini Hani mesti terima. Kalau tidak mak tak mahu masuk campur lagi dalam urusan hidup Hani. Kalau terjadi apa-apa, jangan cari mak atau ayah!” Kedengaran seperti emaknya sedang merajuk tetapi sebenarnya emaknya sedang mengugut Hanisha. Emak Hanisha benar-benar sedang menguji kesabarannya sebagai anak kandungnya yang sudah tentu anak perempuannya. Darah daging sendiri yang tidak dipungut dari mana-mana tong sampah.
            “Kalau macam tu kata emak, suka hati emaklah…” Hanisha pula yang merajuk. Terus mencapai beg tangannya yang dia letak di meja makan. Tangan emaknya juga tidak Hanisha cium seperti selalunya sebelum dia keluar rumah.
Dia pergi begitu saja.
Biarlah.
Hanisha masih percaya dia masih lagi belum bergelar anak derhaka. Setakat berlawan cakap dan tunjuk keras kepala saja, anak siapa pula yang  tidak terkecuali. Sesekali hendak juga Hanisha tunjukkan rasa tidak puas hatinya.
            Ah! Setakat keras kepala saja. Esok-esok kepala ini jugak yang emaknya tolak-tolak.
Hanisha dah tak kisah. Dah tak hairan!

Tuesday, January 10, 2012

Cinta adalah Cinta ~ Prolog

Kenapa you takut sangat dengan I?” soal Syed Harith memandang ke wajah Aina. Dalam samar-samar cahaya daripada lampu di tepi pantai berhampiran Resort Malibest.
“Bila I takut?” soal Aina berdebar. Pada jarak kedudukan mereka hampir dua meter, dia memandang lelaki bermata hijau yang memandangnya.
“Ini, kita bercakap terpaksa menjerit pulak...” Syed Harith ketawa di hujung kata-katanya.
Aina diam. Memandang sekitar. Yang ada hanyalah kepekatan malam, walaupun di sana sini terdapat lampu-lampu yang menghiasi chalet, restoran dan resort-resort.
Syed Harith tersenyum, menghampiri Aina. Aina tertegak memandang Syed Harith dengan senyuman yang mendebarkan hatinya. Kenapa dengan lelaki ni? bisiknya sendiri.
“I nak kita serius, Mas” tingkahnya perlahan. Memandang ke wajah itu. Kalau disentuh wajah itu, pasti tangannya akan ditepis oleh Aina. Dan, mereka bukanlah mahram.
Inilah yang paling ditakuti. “I belum sedia lagi ke arah itu. I tak mahu cakap benda-benda macam ni. Kita balik aje. Lagipun tak elok, kita bukan sesiapa...” Aina mengingatkan lelaki itu. Serasanya Syed Harith lebih arif.
“Sebab bukan sesiapalah I nak jadikan you siapa di hati I...” Pandai sahaja dia memutar belit ayat Aina. Syed Harith tersenyum sendiri mengingatkan kata-katanya sebentar tadi.
Aina senyap. Memandang senyuman lelaki itu. Tenang senyuman lelaki itu membuatkan hatinya juga setenang air di kolam. Hisy!!! Dah merepek-repek pula yang difikirkan. Mengapa si mata hijau ini? Terasa lemas dan rimas.
Please, I tak layak untuk you...” Itu alasannya.
“Layak ataupun tidak bukan masalahnya, Mas. Hati...” Dia meletak tangannya di dadanya sendiri. Tepat merenung wanita di hadapannya. “Tanya hati you. I tahu you sudah mula rasai tanpa you sedari. Berilah I ruang dan diri you peluang menerima kehadiran seseorang,” rayu Syed Harith. Selama hidupnya, tidak pernah dia merayu sebegini.
I really, really love you...” Dia semakin menghampir.
Aina senyap, tidak tahu apa yang patut dikatakan. Degil betul lelaki ni, bisiknya sendiri. Atau dia sendiri yang degil? Tercengang dia mendengar bisikan hatinya. Diri sendiri yang degil, hmm...
“I tak mahu ungkit masa lalu you, Mas. It’s your right. Tetapi beri diri you peluang untuk mengecapi kegembiraan dan kebahagiaan. I mahu beri itu semua kepada you. I tak mahu berjanji tetapi insya-Allah, dengan izin Allah I akan jaga you, jaga Hadirah...” ungkapnya lembut.
Aina senyap, tunduk. Tidak tahu apa yang harus dikatakan. Bagaimana bentuk perasaannya sekarang? Dia sendiri tidak pasti. Memandang ke kakinya, kasut sudah dipenuhi pasir. Terasa rimas. Entah berapa kali dia cuba mengeluarkan pasir dari dalam kasutnya.
“I tak ada apa-apa...” Hanya itu yang terluah.
“Ada, hati you...”
“Hati I?” soal Aina mendongak memandang ke wajah Syed Harith.
“Hmm, Tuhan memberikan kita dua kaki untuk berjalan, dua tangan untuk memegang, dua telinga untuk mendengar dan dua mata untuk melihat. Tetapi mengapa Tuhan hanya menganugerahkan sekeping hati pada kita? Kerana Tuhan telah memberikan sekeping lagi hati pada seseorang untuk kita mencarinya.” Syed Harith cuba mengingatkan Aina pada bait-bait tulisan yang pernah diberikan kepada Aina.
Aina senyap. Dia masih menyimpan kad-kad pemberian Syed Harith mahupun Lutfi dan Encik Zulhilmy. Tetapi bait-bait nukilan Syed Harith begitu menyentuh hati dan perasaannya. Cantik dan begitu romantis sekali.
Love is not finding someone to live with, but finding someone you can’t live without, Mas. And I found you. I can’t live without you. Sebab itu I datang ke sini. I jadi sasau di sana tanpa you. You tak percaya tanya Wati. I rasa dia pun perasan sekarang walaupun dia tak tahu kita punya hubungan yang samar-samar...” Dia menentang mata Aina.
Itulah pertama kali dia melihat mata itu dari dekat. Cantik dengan alis yang lentik. Segala-galanya seperti terukir. Indah Hawa di hadapannya. Akukah Adamnya untukmu Hawa? soalnya sendiri.
Aina seperti tadi, senyap.
Say something, please.” Dia ingin memegang tangannya, tetapi dibatalkan niatnya. Sikap Aina yang begitu konsevertif itulah yang membuatkan dia terpikat. Begitu menjaga tingkah dan lakunya.
“I tak tahu nak cakap apa...” jelas Aina tunduk. Tak sanggup menentang mata hijau lelaki itu.
Syed Harith tersenyum. “Terimalah I...” Dia merayu lagi.
Aina mendongak dengan senyuman. Menghela nafasnya. “Nanti I fikirkan...”
“Maknanya I ada peluang ke?” soalnya.
“You fikir sendiri...” Dibiar fikiran Syed Harith kusut sedikit.
“Sekarang, jom kita balik. Nanti risau Encik Ridzuan dengan Aunty Kamariah,” ajaknya. Dia mula melangkah menentang pasir yang sudah memenuhi kasutnya.

Monday, January 9, 2012

Jangan Pernah Berubah - Bab 1

“EMAK dah naik malu dengan saudara-mara lain. Tidak sudah-sudah mereka bercakap tentang kamu. Malu mak!” Puan Jamilah menarik tudungnya lalu dicampak ke sofa. Panas di hati sudah melebihi panas di badan. Jadi, kali ini dia tidak akan berlembut dan beri muka lagi kepada Fahrin. “Sorang demi sorang sebut pasal kamu. Semuanya benda yang sama!” bebel Puan Jamilah lagi dengan wajah kecewanya. “Ni telinga mak ni, dah nak putus bila orang tanya soalan pelik-pelik.” Bukan sedikit marah Puan Jamilah kali ini. Rasanya sudah berbakul-bakul. Sudah tidak boleh dijunjung-junjung. Kalau boleh, semuanya hendak dihamburkan di hadapan Fahrin. Biar Fahrin jelas sejelas-jelasnya tentang masalah yang mereka hadapi. 
Selalunya Puan Jamilah boleh lagi bersabar. Boleh lagi buat pekak. Tetapi sekarang, mungkin tidak. Makin disabarkan hati, makin menjadi. Makin bertimbun-timbun sakit hatinya. 
Fahrin sekadar mendiamkan diri sejak mula. Tahu emaknya tengah diserang angin yang tidak berapa baik. Sebelum apa-apa, Fahrin fikir eloklah dia diam saja. Tak guna pun kalau dia bercakap. Emaknya tidak akan terima apa-apa penjelasan daripadanya saat ini. Pada Fahrin, emaknya lebih percayakan cakap orang daripada cakap anak sendiri. Jadi, terpulanglah… Dia sudah tidak mahu ambil kisah tentang cakap-cakap orang itu. 
Tapi, kalau dia tahu siapa empunya mulut yang menyebarkan cerita bodoh itu, orang itulah yang pertama dia bunuh. Pandai-pandai bawak cerita yang bukan-bukan. Dia tidak kira. Masuk jel, masuk jellah. 
“Ayah pun tak tahu nak cakap apa. Semua tuduhan tu macam betul saja.” Encik Baharin tumpang bersuara. Dia juga seperti kecewa dengan apa yang terjadi. Matanya dari tadi melihat Fahrin. 
Fahrin pula masih selesa begitu. Baik cakap emaknya atau ayahnya, dua-dua didengarkan saja tanpa mahu bersuara. Tiada apa yang harus diterangkan kerana semuanya jelas hanya cakap-cakap saja. Cakap-cakap yang tidak benar sama sekali. Mustahil dia lelaki begitu. Dia masih waras, masih boleh berfikir dengan baik. 
“Begini sajalah. Mak fikir baik kamu kahwin cepat. Bawalah kawan perempuan yang mana kamu berkenan. Mak setuju saja. Mak dah tak sanggup nak dengar cerita yang bukan-bukan.” Puan Jamilah nampak sangat kecewa. Cadangannya itu juga jelas-jelas lahir dari perasaan kecewanya itu. 
Bukan sedikit rasa terkejut Fahrin. Berlipat kali ganda rasanya. Di mana pula dia hendak mencari kawan perempuan waktu sebegini? Jangan kata kawan perempuan, perempuan untuk dijadikan kawan juga tidak ada. 
Gadis yang dia berkenan sangat-sangat itu pula entah siapa-siapa. Yang dia tahu, gadis itu hanya anak kawan emaknya. Nak bertanya lebih-lebih, Fahrin begitu keberatan. Sebenarnya dia malu. Dia bukan pandai benar dalam hal perempuan, jadi semua itu hanya kekal terbenam dalam hatinya saja walaupun dia sudah separuh nyawa menggilai gadis tersebut. 
“Kamu ada kawan perempuan?” soal Encik Baharin pula. 
“Mana ada ayah!” jawab Fahrin tanpa teragak-agak. Rasa terperanjat tadi masih belum sudah, kini digasak lagi dengan soalan begitu. Mahu tambah sesak fikirannya. 
“Itulah kamu, dah umur 30 pun tak pandai nak berkawan dengan perempuan. Macam mana orang tak tuduh yang bukan-bukan,” kata Encik Baharin dengan perasaan hampa. 
“Seorang perempuan pun kamu tak ada?” soal Puan Jamilah sedikit kuat. Macam tidak percaya saja anak lelakinya itu tidak ada kawan perempuan. Nak kata bukan macam orang, tidak pula. Serba sempurna saja, tapi mustahil seorang perempuan pun tak berkenan dengan Fahrin. 
Aduhai, macamlah dia kaki perempuan! Keluh Fahrin di dalam hati. 
Takut Fahrin hendak gelengkan kepala. Bimbang kepala yang digelengkan itu bakal menerima habuan. Bukan Fahrin tidak tahu akan bisa tangan emaknya. Dia yang sebesar itu pun masih dipiat telinga dan diluku kepala. Sudahnya, dia hanya mampu memilih muka lantai untuk dilihat-lihat. Mungkin itu lebih selamat daripada dia melihat muka emaknya. 
“Payah-payah, biarlah mak yang carikan. Suka tak suka, kamu kena setuju jugak!” putus Puan Jamilah. 
“Mana boleh macam tu mak.” Fahrin sudah kelam-kabut. Cemasnya menjadi. Yang tidak-tidak saja cadangan emaknya. 
“Kenapa?” 
Jegil mata Puan Jamilah buat Fahrin sedikit gerun. Langsung dia tidak berani bersuara lagi. Bimbang kalau terlebih cakap, mahu segala sofa, almari hiasan hinggap ke badannya. Oleh itu, lebih baik dia tidak menjawab. 
Puan Jamilah terus mendapatkan telefon yang terletak betul-betul di sebelahnya. Rasa Fahrin, emaknya bersungguh kali ini. Kalau tidak, kenapa secepat itu emaknya mendekati telefon. Langsung tidak menunggu esok, lusa atau minggu depan. Kejap itu juga emaknya bertindak. Nampak seperti emaknya terdesak benar hendak bermenantu. 
Puan Jamilah menghubungi seseorag kemudian bertanyakan nombor telefon kepada orang tersebut. 
Cepat-cepat Puan Jamilah menulis sesuatu di dalam buku yang tertulis nombor telefon. Selepas itu, Puan Jamilah membuat panggilan pada nombor yang diberikan sebentar tadi. 
Fahrin sudah mula bangun. Dia tidak mahu ambil tahu apa-apa. Biarlah. Terserah kepada suratan takdir. Kalau itu semua mampu menyenangkan hati emaknya, Fahrin akan akur saja. Hati emak lebih penting daripada hatinya. Hatinya, apalah sangat. Hanya sekeping hati milik seorang lelaki. Tidak terlebih, tidak terkurang dan tidak perlu pula hendak dijaga-jaga. Tetapi, siapa pula yang akan faham apa yang dia alami sekarang? Retak hatinya, luka perasaannya, siapa yang nampak? 
Fahrin ke bilik. Membawa retak, membawa luka. Rasa Fahrin, tidak lama lagi dia bakal membawa sengsara pula. Kelak sengsara itulah yang bakal dia usung ke hulu dan ke hilir. Dia merebahkan badan ke atas katil. Kemudian, memandang siling dengan pandangan kosong.
Bagaimana dengan cinta yang dipendam selama ini? Cinta yang sudah mekar kira-kira setahun lalu? Akan terkubur begitu sajakah? Jadi, apalah gunanya bersungguh dia jatuh cinta kalau kesudahannya harus begini? 
Gadis yang Fahrin sebut sebagai buah hati itu sangat ayu pada pandangan matanya. Berwajah manis walaupun nampak tidak begitu lembut. Tetapi, ada sesuatu yang Fahrin sangat-sangat berkenan pada gadis itu. Ternyata buah hatinya lain daripada yang lain. Jadi, tidak salah kalau perasaan sayang itu kian membara. 
Aduh! Semuanya kini nampak seperti sudah hancur berkecai. Emaknya sudah tiada istilah main-main. Emaknya bersungguh. Jadi, Fahrin tidak mampu untuk menaruh sebarang harapan lagi. Nanti bukan sedikit rasa sakit yang bakal dirasanya. Akan tidak tertanggung rasanya kerana yang sakit itu nanti bukanlah gigi atau kaki, tetapi hati. Hatinya akan sakit setiap kali terpandang akan buah hatinya. Buah hati itulah yang memperkenalkannya akan cinta dan rindu. Bila sudah ada cinta dan rindu, tentu akan ada rasa bahagia. Tapi sayang, bahagia itu hanya bersifat sementara. Terlalu sementara! 
Dalam melihat harapannya mula punah, Fahrin paksa juga matanya agar terpejam petang itu. Mana tahu dengan terpejam, semuanya bakal hilang. Baru hendak terlelap, emaknya sudah melaung dari tingkat bawah. 
“Apa lagi emak ni…” rungut Fahrin perlahan. Dalam terpaksa, dia bangun juga. 
Di ruang tamu sudah ada suara gelak tawa dan suara orang berbual. Bila Fahrin muncul, masing-masing menoleh ke arahnya. Seolah-olah dia turun tanpa berbaju. 
“Inilah anak tunggal saya, Fahrin.” Puan Jamilah memperkenalkan Fahrin kepada tetamunya. 
Fahrin tergamam ketika melihat raut wajah tetamu wanita. Bukankah itu emaknya si… Entah, dia sendiri tidak tahu nama buah hatinya itu. Tapi, dia yakin benar itulah emak buah hatinya. 
Ah! Silap hari bulan mungkin… Bila hati dan perasaan sudah jadi kabur, maka tak salah kalau mata turut sama jadi kabur juga. 
Fahrin mencium tangan kedu-dua tetamu itu lalu duduk bersebelahan tetamu lelaki dengan debar. Debar yang tiba-tiba saja menjalar ke seluruh perasaan. Jadi tidak tentu arah dan tertanya-tanya. Namun, di tengah-tengah semua itu, muncul pula satu perasaan yang semua orang gila bayang sebut sebagai harapan. Bermakna, dia belum lagi silap hari bulan. 
“Ingat lagi kita pernah jumpa mak cik ni kat majlis kahwin anak kawan mak?” soal Puan Jamilah kepada Fahrin. 
Tadi, hanya setakat debar, tidak tentu arah dan tertanya-tanya. Kini, muncul pula yang lebih hebat iaitu gelora. Cuma tidak ternampak dengan mata betapa besarnya gelora itu. Masakan dia boleh lupa kerana pada hari yang sama juga dia mengenali cinta. Fahrin berkira-kira dalam hati.
“Isy, mana dia ingat, jumpa pun baru sekali,” jawab Puan Zainab. 
Fahrin menjeling kawan emaknya itu. Dia tidak akan lupa. Sama sekali tidak. Lebih-lebih lagi kepada anak kawan emaknya itu. 
“Ingat lagi dengan anak dara mak cik ni?” soal Puan Jamilah sambil tersenyum. 
Fahrin kerutkan dahinya. Buat-buat mengingati sesuatu. Dalam hati dia bantai gelak. Gelak sakan. Hatinya sudah sebut dua, tiga kali, mana boleh dia lupa. Aduhai! 
“Hani macam mana sekarang?” soal Puan Jamilah kepada kawannya. 
Fahrin lihat pula emaknya. Hani? Nama dia Hani? Kenapa emaknya boleh tahu? Tak cakap pun namanya Hani. Emak ni…
“Hmm… Macam itulah,” jawab Puan Zainab lambat. 
Fahrin dengar seperti Puan Zainab mengeluh saja. Macam orang kecewa, tapi Fahrin tahu kecewa Puan Zainab itu adalah bunga harapan buat Fahrin pula. Ini mesti ada kena mengena dengan Hani. Kalau tidak, Puan Zainab tak akan cakap macam tu. 
“Dah ada yang punya ke belum?” terus Puan Jamilah bertanya tanpa berlengah lagi. 
Emak ni, main tanya terus. Tak menyabar betul! Fahrin menjeling Puan Jamilah. Tahu emaknya sudah tidak sabar-sabar. 
Ketika itu dada Fahrin makin berombak. Makin tidak tenang. Makin tidak tahu nak diam. Sesekali semua itu bagai saling bergasak sesama sendiri, membuatkannya susah pula hendak bernafas. 
“Hmm.. Nampak saya ni, simpan anak dara tualah jawabnya,” keluh Puan Zainab perlahan. 
Waktu itu Fahrin dah mula faham keadaan Puan Zainab. Jadi dia mula rasa yang dia bakal ada peluang. 
Mendengar jawapan Puan Zainab begitu, Puan Jamilah duduk tambah rapat. Dipegang tangan Puan Zainab dengan erat. “Apa kata kita jodohkan anak kita berdua? Kita berbesan.” 
Masa itu juga Fahrin hendak melompat, hendak saja terjerit-jerit. Kalau boleh, hendak melalak bagai penyanyi rock. Tetapi, masakan dia boleh begitu. Mahu emaknya terus tak mengaku anak. Jadi dia bersabar. Dia bertahan. Kalau nak buat apa pun tunggu orang balik dulu. 
“Milah bersungguh ke?” soal Puan Zainab pula. Juga nampak bersungguh. 
“Saya betul-betul ni…” 
“Milah saja yang bersungguh, tapi anaknya tak cakap apa-apa pun.” 
Kedua-dua wanita yang sakan berborak itu memandang Fahrin. 
“Fahrin setuju kalau dijodohkan dengan anak mak cik?” soal Puan Zainab. 
Fahrin diam. Konon-kononnya berfikir. Kalau dia terus melompat kata ya, mahu esok, lusa dia susah nak kenal hari kerana dipelangkung emaknya. Jadi, dia perlu berpura-pura berfikir agar emaknya tahu dia sedang menimbangkan sesuatu dengan akal fikiran. “Saya ikut saja mana yang baik.” Fahrin putuskan begitu. Tak mahu cakap lebih-lebih. Tak guna pun kalau dia cakap banyak. Takut ada yang tak faham pulak. 
“Jangan begitu. Yang nak kahwin Fahrin. Kalau dah ada pilihan sendiri, baik berterus terang.” Encik Hasyim tepuk bahu Fahrin. 
Itulah bakal ayah mertua Fahrin. Dia yakin sangat-sangat tentang itu. 
“Kalau ada pilihan sendiri, dah lama dia kahwin, Encik Hasyim. Ini sebab tak ada pilihan sendirilah terpaksa kami carikan,” jawab Encik Baharin. 
Fahrin tersenyum simpul. Malu berbaur suka. Dia tidak akan silap kali ini. Harapannya juga tidak jadi punah sama sekali. Sudah nampak bunga-bunga harapan bertunas semula. 
“Kalau begitu, harap rancangan kita ni menjadilah ya. Tapi, hendak ke Hani dengan anak kami ni?” 
Sekali lagi Fahrin menaruh harapan. Minta tiada yang menghalang apa-apa. Harap-harap orang di sana katakan ya juga. 
“Insya-Allah, jadi. Nanti pandailah kami. Lagipun, si Hani tu tak banyak kisah,” jawab Puan Zainab. 
Lapang hati Fahrin. Lapang selapang-lapangnya. 

MALAM itu Fahrin tidak lena tidur. Dia bagai tidak percaya dengan apa yang berlaku. Terfikir juga kenapa semudah itu, sedang dia merasa kepayahan hampir setahun lebih. Setahun lebih dia hanya berani memandang buah hatinya dari jauh. Setahun lebih ini dia hanya merindui buah hatinya dalam diam. Benar, dia terlalu banyak peluang untuk meluah rasa, namun semuanya bagai satu bebanan buatnya. Terlalu berat untuk berbicara, apatah lagi untuk membicarakan soal hati. 
Namun siang tadi, dengan sekelip mata semuanya berubah. Bagai mimpinya menjadi kenyataan. Mulanya susah juga untuk dia percaya, tetapi mungkin takdir masih berpihak untuknya kali ini. Tinggal lagi, setujukah buah hatinya? Hendakkah buah hatinya menerima dirinya seadanya? Dan kalau betul buah hatinya sudah berpunya, bagaimana?
“Aduh, macam mana aku nak tidur ni…” bebel Fahrin bila dirasakan semua perasaan-perasaan itu semakin seronok bermain dengannya. Makin berpusu-pusu semuanya minta perhatiannya. 
Fahrin masih gelisah di atas katilnya. Berpusing ke kiri terasa hendak ke kanan. Berpusing ke kanan rasa hendak terlentang pula. Kalau begini, alamat sampai ke pagi dia tidak boleh tidur.