Thursday, January 12, 2012

Cinta adalah Cinta ~ Bab 1

Lagu Glenn Fredly berjudul Januari diiringi tiupan klarinet Kenny G, mendayu-dayu di dalam ruang kereta Aida. Aida memandang Aina yang sudah jauh mengelamun. Diperlahankan sedikit.
“Betul tak nak ikut?” soal Aida memandang Aina yang masih memandang ke luar. Memintas lamunan kakaknya yang entah ke mana. Begitulah Aina. Senyap. Sepatah ditanya sepatah juga dia menjawab.
Aina memandang Aida dengan gelengan kepalanya.
“Dee pergilah....” kata Aina kembali memandang ke luar.
Kereta di hadapan tidak langsung bergerak sejak 10 minit tadi. Beginilah Kuala Lumpur. Kalau hujan setengah jam, lebat, pasti satu Kuala Lumpur akan banjir dan akan diselaputi oleh lumpur. Memang patut dinamakan ‘Kuala Lumpur’.
“Ikutlah sekali. Sampai bila nak terperuk di rumah aje? Anak dah berjalan keliling dunia...”
Begitulah mereka. Saban cuti sekolah, Asyraf dan Amsyar pasti akan membawa anak-anak mereka berjalan. Hadirah memang tidak pernah dilupakan biarpun Aina tidak ikut bersama. Selalunya Aida yang akan menemani anak saudara kesayangannya. Bukan kesayangannya sahaja. Mungkin disebabkan status Hadirah, dia menjadi kesayangan seluruh keluarga mereka.
Aina menggeleng. “Kak Mas banyak kerja...”
Sebenarnya kalau dia mahu boleh, tetapi entahlah... sejak Hadi pergi memang dia tidak berkeinginan hendak ke mana-mana. Dia lebih senang duduk di rumah. Keluar pun hanyalah pergi membeli keperluan rumah atau barang-barang Hadirah.
“Kerja kalau nak diikutkan memang tak habis-habis, kak. Bawak-bawak berjalan...” Aida menongkat kepala dengan sikunya yang disandar di cermin tingkap. Dihela nafasnya melihatkan kereta yang masih tidak bergerak.
Aina senyap. Pandangannya dilontar pada kereta sebelah. Begitu mesra sekali lelaki dan wanita di kereta sebelah. Ingatannya kembali kepada suatu waktu dahulu. Dia menggeleng sendiri. Tidak sanggup untuk melihat dan pandangannya kembali merenung ke hadapan. Kereta di hadapan sudah mula bergerak seperti semut. Tak apalah, asalkan bergerak. Punggungnya sudah panas walaupun duduk di kerusi empuk kereta Aida.

Mereka akhirnya sampai tepat pukul 8.30 malam. Berlari Hadirah mendapatkan Aina. Anak itu dipeluknya seperti setahun tidak berjumpa. Aina tersenyum memandang Hadirah yang sibuk bercerita kisah setengah harinya di tadika.
“Mama penat, sayang. Dirah pergi tengok Barney. Nenek dah bukak tadi, kan?” pujuk Puan Hajar dengan senyuman.
Aina hanya tersenyum. Hadirah tidak mempedulikan pujukan Puan Hajar, terus-terusan dia bercerita. Aina sesekali ketawa mendengar ayat-ayat yang diguna agak tunggang-langgang dan pelat sedikit. Tak mengapalah. Begitu pun dia sudah pandai bercerita.
“Okey, mama nak mandi, nak solat. Dirah pergi tengok Barney ya, sayang? Nanti mama bacakan Snow White and Seven Dwarfs, ya...?” pujuk Aina lembut. Ubun-ubun anak itu dikucup dengan penuh kasih sayang.
“Okey...” Hadirah berlari semula masuk ke family room.
Kedengaran suara ayahnya. Entah apa yang diusik oleh atuknya, membuatkan mulut si kecil bising. Encik Ayub kedengarannya ketawa besar.
Aina dan Puan Hajar senyum. Aida sudah hilang ke atas.
“Pergilah mandi, solat  dulu, lepas tu turun makan...”
Aina hanya mengangguk dan melangkah naik menuju ke biliknya. Selepas Hadi meninggal, Encik Ayub, Asyraf dan Amsyar tidak membenarkan dia tinggal bersendirian, walaupun kalau diikutkan Aina mampu untuk menduduki sebuah apartmen bersama Hadirah. Dia menghela nafasnya. Terpaksa qada’ solat maghribnya, segera dia masuk ke bilik mandi yang bersambung dengan biliknya.
“Mak andak datang tadi...” Puan Hajar membuka cerita kisah petang tadi. Memandang kepada suaminya yang asyik bermain dengan cucu kesayangannya.

Hmm, nak apa?” soal Aida dapat diagak.
Mak saudaranya yang dua pupu kepada ibunya sudah menjadi pencari jodoh untuk Aina. Hai, kesemuanya untuk Aina, dia tak ada ke? soalnya sendiri. Dia tersenyum. Zahir nak letak mana pulak ya? desisnya sendiri. Senyum. Memandang pada Aina yang sudah hendak bangun apabila mendengar nama Mak Andak disebut.
“Mas, dengarlah dulu...” pinta Puan Hajar memegang tangan anaknya.
Dia faham dengan perasaan Aina. Yalah, siapa yang tidak sayang kepada suami? Bukan bercerai hidup tetapi bercerai mati. Ketika itu masih baru lagi perkahwinan mereka, belum menginjak ke setahun pun. Tetapi, tiada apa yang dapat menahan maut yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Aina duduk semula. Memandang pada Hadirah yang sedang tergelak-gelak digeletek oleh Encik Ayub.
“Bukan apa, Mas, ibu bimbang. Sampai bila Mas nak macam ni?” soal Puan Hajar lembut merenung ke wajah anaknya.
Dia juga agak terkejut.
Ini kali ketiga mak andak datang dengan membawa peminangan daripada orang yang sama. Dia tidak dapat memberi jawapan bagi pihak Aina. Kalau ikutkan mahu sahaja dia menerimanya. Padanya tidak salah untuk Aina berkahwin lagi. Adalah orang yang akan menjaganya kelak.
Aina memandang wajah Puan Hajar. Perkara inilah yang paling tidak disukai untuk dibincangkan. Buat masa ini hatinya tertutup rapat. Dia tidak mahu sesiapa pun menggantikan tempat Hadi. 
“Mas belum sedia, bu. Tolong jangan paksa Mas,” pintanya dengan lembut. Tunduk memandang jejarinya sendiri.
“Sampai bila?” soal Puan Hajar lembut. “Ibu risau. Esok atau lusa mungkin ibu dan ayah tak ada lagi. Siapa yang nak tengok Mas...?”
“Insya-Allah, bu, Allah kan ada. Dia tidak akan meninggalkan kita bersendirian,” ujar Aina lembut. Sedih mendengar kata-kata Puan Hajar.
Terkedu Puan Hajar mendengarnya. Aida senyap, menatap TV yang sudah bisu. Hanya melihat aksi pelakon yang entah apa-apa.
“Mas naik dulu...” Aina bangun sambil memanggil Hadirah mengajak naik untuk tidur. Dia akan membaca buku-buku kisah nabi-nabi atau kisah-kisah dongeng yang memang disukai oleh puterinya.
“Biarlah dia, Jar. Jangan paksa dia, esok pindah pulak dia dari sini. Awak nak macam tu?” soal Encik Ayub. Dia tidak mahu mendesak Aina dalam soal jodoh. Mungkin sudah ketentuan Allah anaknya itu menjadi balu di waktu usia semuda itu. Tetapi nak ditolak macam mana?
“Kalau dia bahagia begini, biarlah. Saya pun tak mahu Dirah tu jauh dari mata kita....” Kasihan dia melihat cucunya yang seorang itu. Sebolehnya sepenuh hati dia mahu menumpah kasih sayang kepada cucu itu.
“Bukan apa, bang, saya bimbang. Entah esok saya tak ada, macam mana dengan dia dan Dirah? Tak ada orang lelaki ni payah. Kalau orang buat apa-apa kat anak kita?” Teringat apa yang berlaku seminggu selepas Hadi meninggal. Tidak disangka begitu sekali tindakan besannya yang amat dihormati. Kasihan anak dan cucunya.
Encik Ayub faham dengan maksud isterinya. Dia menghela nafasnya.
Aida bangun lalu menutup TV, kembali duduk di sofa tadi.
“Dahlah, bu. Insya-Allah, kami semua ada. Ibu janganlah risau sangat, nanti darah tu naik lagi...” pujuk Aida.
Ada kala dia berasa marah juga dengan Aina. Sikap Aina yang tidak seperti Aina yang dahulu. Lebih banyak mendiamkan diri, sukar dinasihati dan tidak mempedulikan perasaan kedua orang tua mereka. Dia sendiri tidak faham. Yalah, mungkin dia tidak berada di tempat Aina, tidak merasai kepiluan dan kesedihan yang dialami, tambahan membesarkan anak tanpa suami, mengandung bersendirian, segala sakit pening ditanggung sendiri dan melahirkan anak tanpa teman untuk dikongsi kegembiraan. Melihatkan ketenangan Aina ada kalanya air matanya menitis.
“Mana ibu tak risau, Dee. Tengoklah apa dah jadi dengan Kak Mas?” Dia menggeleng kepala. Tiada guna dia mengungkit semua itu. Mungkin ada hikmah yang tidak mereka nampak.
Tetapi dia kesal, kesal kerana hak Hadirah yang sepatutnya, telah diambil. Tidak tahukah besannya bahawa mengambil harta anak yatim adalah satu dosa? Itulah satu-satunya yang amat dikesali. Rumah dan kereta Hadi diserah oleh Aina setelah didesak oleh Puan Raihan walaupun ditentang hebat oleh Encik Hafizuddin dan Husnina. Aina yang tidak mahu kedua mertuanya bergaduh menyerahkan dengan rela hati. Mujur juga Aina masih punya pekerjaan walaupun sebelum itu Hadi begitu mendesak menyuruh Aina berhenti kerja.
“Dahlah, bu, ibu jangan risau...” pujuk Aida lembut.
“Tapi sampai bila? Kau esok lusa akan kahwin juga. Dan sampai bila Asyhraf, Amsyar dengan Ammar asyik nak tengok dia? Masing-masing ada anak bini...” keluh Puan Hajar bingung memikirkan tentang Aina.
“Sabarlah, Jar. Kita sama-sama berdoa untuk dia, biarkan dulu. Bukan mudah nak lupa orang yang kita sayang. Insya-Allah ada jodohnya, kahwinlah dia. Kalau tidak serahkan kepada Allah...” pujuk Encik Ayub lembut bangun dan duduk bersebelahan isterinya. Mengusap lembut lengan isterinya. Faham dengan perasaan isterinya yang begitu sedih melihatkan nasib yang menimpa Aina.
“Kita adalah kekuatan Mas untuk menempuh hidupnya. Jar kena kuat...” tambah Encik Ayub lagi.
Puan Hajar mengangguk-angguk. Hatinya sayu melihatkan ketabahan Aina.

Dia hanya menatap surat itu tanpa minat. Padanya apa yang dilakukan adalah kerana duit dan dengan duit dia dapat membesar Hadirah. Keperluan Hadirah yang selalu didahulukan. Dan sedikit-sedikit dia membuat simpanan untuk anaknya. Sedih juga bila akaun bersama Hadi diambil oleh Puan Raihan dan satu apa tidak ditinggalkan untuk anaknya. Itu yang membuat dia benar-benar terkilan dengan sikap emak mertuanya.
Tidakkah dia sedar yang Hadirah adalah darah dagingnya juga? Dia menghela nafasnya. Tak apalah, bisiknya sendiri. Dibuang jauh-jauh segela kenangan yang menyakitkan. Apa yang dimahukan kini adalah memberikan kehidupan yang baik dan terbaik untuk Hadirah.
Diletak surat itu ke dalam laci meja kecil di bawah meja. Dia memandang mejanya. Terletak foto Hadirah dan sekeping foto kecil wajah Hadi di sudutnya. Wajah mereka saling tidak tumpah.
Hey... congratulations, Assitant Manager.
Huluran tangan Julie disambut dengan senyuman yang kelat.
“I ingat gaji aje yang naik, tapi pangkat pun naik...” omel Aina.
Sebenarnya dia lebih suka pada jawatan lamanya. Kini dia akan selalu bertemu dengan Senior Management. Encik Ridzuan akan bersara tidak lama lagi. Segala tugas-tugas lelaki itu sudah berhimpun di mejanya. Apa yang didengari, mereka akan memansuhkan jawatan itu dan kini tanggungjawab di dalam jabatan itu sepenuhnya di atas bahunya. Matilah dia. Bolehkah dia mengalas tanggungjawab seberat itu? bisiknya sendiri.
“Tak apalah, two in one....” Julie ketawa.
“Eh! Jom, belanjalah I, Assistant Manager...” usiknya dengan sengihan penuh simpati.
“Ju, pleaselah... Don’t call me that, okay...” pinta Aina dengan senyuman sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Okey, tapi belanjalah I...” Terasa dirinya tidak malu meminta dibelanjakan. Ah! Dia dan Aina sudah lama berkawan, tiada apa yang hendak dimalukan, desisnya sendiri
“Okey, I belanja you... Kita ke Secret Recipes, ya? I nak beli coklat kek untuk princess I.”
Memang kalau ke restoran itu dia tidak pernah melupakan puterinya. Apa yang dimakan, terutama kegemaran Hadirah akan dibawa pulang. Kalau tidak begitu terasa tidak tertelan makanan yang dimakan.
“I tak ada hal punya. Ikut aje...” Julie tersengih sambil mengepit lengan Aina seperti tidak mahu melepaskan temannya.
Aina tersenyum senang. Julie memang begitu. Tidak pernah membuatnya sedih, sama seperti yang dikenalinya sebelum dia berkahwin dahulu.

Sesampainya ke Secret Recipes, mereka terus membuat pesanan.
Matanya memandang Julie ketika mendengar cerita daripada gadis di hadapannya.
“Siapa?” soal Aina ingin tahu.
“Tak tahu? Position dia overall. Overseeing HR, secretarial, legal, finance and security department. Jadi head of department hanya akan berbincang dengan dia dulu sebelum dibawa pada CEO dan Chairman,” jelas Julie.
Aina mengangguk-angguk sahaja mendengar cerita temannya itu.
“Bila dia masuk?” soal Aina ingin tahu. Matanya menatap ke wajah Julie.
“Tak tahulah...” balas Julie.
It’s strictly confidential. Kau jangan cakap dengan sesiapa pulak...” pinta Julie walaupun dia tahu Aina memang seorang yang terkenal dengan P & C, sehingga dia di gelar Miss P ‘N’ C oleh beberapa orang pengurus, kerana pandai menyimpan perkara-perkara sulit syarikat.
“Tak apa, nanti aku beritahu kat semua orang,” usik Aina menjeling Julie.
Is chosen by Encik Ridzuan sendiri...”
Meraka faham sangat dengan Encik Ridzuan yang begitu cerewet.
He’s more in HR line, but capable in finance. Jadi finance tak boleh nak kelentong dia,” jelas Julie lagi dengan senyuman.
Pesanan mereka sampai. Sepi seketika. Sekotak kek coklat terletak di tepinya. Aina memandang Julie. Boleh dibayangkan lelaki yang disebutkan oleh Julie. Seorang lelaki yang sudah berumur 40-an atau lewat 40-an seperti Encik Ridzuan. Leceh betul kalau dapat bos tua-tua. Belum apa-apa dah nak pencen pulak, dengusnya sendiri.
Last day Encik Ridzuan bila?” soal Julie ingin tahu.
“Minggu depan. Orang tua tu kan banyak cuti dia...” Aina mula menjamu hidangan yang berada di hadapannya.
“Tak buat farewell untuk dia?” soal Julie yang sudah menyuap Singapore Laksa. Memang itu adalah kegemaraannya. Kalau datang dengan Aina ke situ memang itulah menunya. Dah tak pandang makanan lain walau sesedap mana.
Next week, on his last day...” jelas Aina lagi.
Matanya melilau memandang sekeliling terasa mereka sedang diperhati. Matanya bertembung dengan sepasang mata hijau. Cepat-cepat matanya beralih pada wajah Julie yang memandang ke luar. Berdebar hatinya. Seperti ada sesuatu tentang sepasang mata itu. Tajam, mendebarkan dan ada rasa gerun. Bukan mata orang Malaysia hitam dan coklat tetapi berwarna kehijauan, cantik dan memukau. Tetapi tajam sekali.
Dia sendiri terkejut kerana bertemu mata itu. Lelaki muda yang dalam lingkungan 30-an itu duduk selang satu meja daripada mereka dan menghadapnya. Julie pula membelakangkan lelaki itu. Di hadapan lelaki itu ada seorang wanita, tidak pasti muda atau tua kerana wanita itu membelakanginya dan memakai tudung.
“Tak jemput CEO dengan Chairman?” soal Julie tidak memandang Aina.
“Entahlah. Kena jemput dia orang ke?” soal Aina ingin tahu.
“Suka hati...” Julie senyum. Faham sangat dengan kata-kata Aina. Temannya itu tidak berapa berkenan dengan sikap CEO mereka yang agak gatal sedikit biarpun sudah beristeri dan punya anak tiga.
Aina senyap. Memang dia tidak bercadang hendak menjemput keduanya. Kalau jemput seorang yang seorang lagi juga kena jemput. Baik tak payah jemput dua-dua, senang sikit kerja dia. Lega juga rasa hatinya apabila Pengurus Besar baru masuk. Taklah dia asyik kena menghadap Encik Adlan yang terkenal dengan kegatalannya dengan staf-staf perempuan yang masih gadis mahupun janda sepertinya.
“Cepatlah GM baru tu masuk. Aku tak sanggup nak menghadap lelaki miang tu,” cetus Aina.
Julie tertawa kecil sambil menghirup ice lemon teanya. “Pedulikan dia...”
“Memang aku tak pedulikan dia, tetapi dia pedulikan aku. Benci tau tak. Entah apa-apa listing yang dia nak, mengarut-ngarut. Menyampah aku. Direct pulak tu. Tak lalu pun dekat Encik Ridzuan. Eii...”
Julie ketawa kuat mendengarnya sambil menutup mulut.
Berkerut dahi Aina memandang Julie. Entah apa yang kelakar sangat, dia tidak pasti. Dia terus menghabiskan sisa laksa Singapuranya. Dia sengaja berlindung di sebalik Julie supaya tidak bertentang mata lagi dengan lelaki tadi.
Tiba-tiba lelaki tadi berdiri dan mata mereka bertemu kembali. Lelaki itu mengukir senyuman. Aina terkejut dan pura-pura tidak memandang. Lelaki itu melangkah ke kaunter untuk membayar makanannya. Beberapa ketika wanita yang duduk berhadapannya bangun dan menoleh kearahnya, dengan senyuman sambil mengangguk tanda hormat. Mata wanita itu tidak pula seperti mata lelaki muda tadi.
Mungkinkah wanita ini ibunya? Aina membalas senyuman itu. Seketika wanita itu berlalu bersama lelaki muda tadi.
Julie masih menghabiskan sisa kuah laksa, habis dihirupnya.
“Eii, malulah sikit. Kau ni...” rungut Aina apabila melihat Julie mengangkat mangkuk dan terus menghirup sebegitu.
Ya Allah, ada juga manusia di sini macam ni, desisnya. Malunya. Dia memandang kiri dan kanan. Mujurlah ramai yang dah keluar. 
“Kau ni betullah...” rungutnya melihat tingkah Julie yang kurang sopan.
“Sebab tak ada orang aku buat macam tu. Kalau ada orang, hmm... aku rasa kalau bakal mak mertua aku lalu, pasti dia kata cancel...” Julie ketawa di hujung kata-katanya.
Aina menggeleng dengan senyuman.
“Hmm... mujur tak ada calon lagi ya?” usik Aina.
Julie tersengih sambil mengelap bibirnya.
“Dahlah, dah 2.15 ni.”
Mujur juga pejabat mereka di atas sahaja, jadi mudah sedikit walaupun keluar lambat untuk makan tengah hari. Aina bangun dan menuju ke kaunter.
“Akak punya order tadi dah bayar,” jelas budak perempuan yang berbaju seragam biru.
“Eh! Akak belum bayarlah...” Aina mengeluarkan not RM100.
“Dah, ada lelaki bermata hijau tadi bayarkan untuk akak,” jelasnya dengan senyuman tanda hormat. Memang sudah dikenali walaupun tidak mengetahui nama Aina dan Julie.
Aina memandang Julie yang terpinga-pinga memandangnya. “Kenapa?”
“Ada orang belanja kita...” jelas Aina.
“Eh, bagusnya! Siapa?” soal Julie memandang cashier di kaunter yang tersenyum-senyum memandang mereka.
“Entahlah, saya tak pasti. Tapi mereka cakap dalam Bahasa Melayu. Nampak macam orang Arab...”
Aina memandang Julie. “Pakwe kau ke?” soalnya.
“Helo, akak. Aku taulah aku ni bukan Melayu tulin. Sepet macam ni Pak Arab mana suka? Bertudung comel macam ni yang dia suka tau tak...” usik Julie.
“Dahlah, rezeki kita nak dapat makan belanja orang yang tak kenal.” Dia menarik tangan Aina yang masih bingung dengan situasi itu. 

No comments: