Monday, January 9, 2012

Jangan Pernah Berubah - Bab 1

“EMAK dah naik malu dengan saudara-mara lain. Tidak sudah-sudah mereka bercakap tentang kamu. Malu mak!” Puan Jamilah menarik tudungnya lalu dicampak ke sofa. Panas di hati sudah melebihi panas di badan. Jadi, kali ini dia tidak akan berlembut dan beri muka lagi kepada Fahrin. “Sorang demi sorang sebut pasal kamu. Semuanya benda yang sama!” bebel Puan Jamilah lagi dengan wajah kecewanya. “Ni telinga mak ni, dah nak putus bila orang tanya soalan pelik-pelik.” Bukan sedikit marah Puan Jamilah kali ini. Rasanya sudah berbakul-bakul. Sudah tidak boleh dijunjung-junjung. Kalau boleh, semuanya hendak dihamburkan di hadapan Fahrin. Biar Fahrin jelas sejelas-jelasnya tentang masalah yang mereka hadapi. 
Selalunya Puan Jamilah boleh lagi bersabar. Boleh lagi buat pekak. Tetapi sekarang, mungkin tidak. Makin disabarkan hati, makin menjadi. Makin bertimbun-timbun sakit hatinya. 
Fahrin sekadar mendiamkan diri sejak mula. Tahu emaknya tengah diserang angin yang tidak berapa baik. Sebelum apa-apa, Fahrin fikir eloklah dia diam saja. Tak guna pun kalau dia bercakap. Emaknya tidak akan terima apa-apa penjelasan daripadanya saat ini. Pada Fahrin, emaknya lebih percayakan cakap orang daripada cakap anak sendiri. Jadi, terpulanglah… Dia sudah tidak mahu ambil kisah tentang cakap-cakap orang itu. 
Tapi, kalau dia tahu siapa empunya mulut yang menyebarkan cerita bodoh itu, orang itulah yang pertama dia bunuh. Pandai-pandai bawak cerita yang bukan-bukan. Dia tidak kira. Masuk jel, masuk jellah. 
“Ayah pun tak tahu nak cakap apa. Semua tuduhan tu macam betul saja.” Encik Baharin tumpang bersuara. Dia juga seperti kecewa dengan apa yang terjadi. Matanya dari tadi melihat Fahrin. 
Fahrin pula masih selesa begitu. Baik cakap emaknya atau ayahnya, dua-dua didengarkan saja tanpa mahu bersuara. Tiada apa yang harus diterangkan kerana semuanya jelas hanya cakap-cakap saja. Cakap-cakap yang tidak benar sama sekali. Mustahil dia lelaki begitu. Dia masih waras, masih boleh berfikir dengan baik. 
“Begini sajalah. Mak fikir baik kamu kahwin cepat. Bawalah kawan perempuan yang mana kamu berkenan. Mak setuju saja. Mak dah tak sanggup nak dengar cerita yang bukan-bukan.” Puan Jamilah nampak sangat kecewa. Cadangannya itu juga jelas-jelas lahir dari perasaan kecewanya itu. 
Bukan sedikit rasa terkejut Fahrin. Berlipat kali ganda rasanya. Di mana pula dia hendak mencari kawan perempuan waktu sebegini? Jangan kata kawan perempuan, perempuan untuk dijadikan kawan juga tidak ada. 
Gadis yang dia berkenan sangat-sangat itu pula entah siapa-siapa. Yang dia tahu, gadis itu hanya anak kawan emaknya. Nak bertanya lebih-lebih, Fahrin begitu keberatan. Sebenarnya dia malu. Dia bukan pandai benar dalam hal perempuan, jadi semua itu hanya kekal terbenam dalam hatinya saja walaupun dia sudah separuh nyawa menggilai gadis tersebut. 
“Kamu ada kawan perempuan?” soal Encik Baharin pula. 
“Mana ada ayah!” jawab Fahrin tanpa teragak-agak. Rasa terperanjat tadi masih belum sudah, kini digasak lagi dengan soalan begitu. Mahu tambah sesak fikirannya. 
“Itulah kamu, dah umur 30 pun tak pandai nak berkawan dengan perempuan. Macam mana orang tak tuduh yang bukan-bukan,” kata Encik Baharin dengan perasaan hampa. 
“Seorang perempuan pun kamu tak ada?” soal Puan Jamilah sedikit kuat. Macam tidak percaya saja anak lelakinya itu tidak ada kawan perempuan. Nak kata bukan macam orang, tidak pula. Serba sempurna saja, tapi mustahil seorang perempuan pun tak berkenan dengan Fahrin. 
Aduhai, macamlah dia kaki perempuan! Keluh Fahrin di dalam hati. 
Takut Fahrin hendak gelengkan kepala. Bimbang kepala yang digelengkan itu bakal menerima habuan. Bukan Fahrin tidak tahu akan bisa tangan emaknya. Dia yang sebesar itu pun masih dipiat telinga dan diluku kepala. Sudahnya, dia hanya mampu memilih muka lantai untuk dilihat-lihat. Mungkin itu lebih selamat daripada dia melihat muka emaknya. 
“Payah-payah, biarlah mak yang carikan. Suka tak suka, kamu kena setuju jugak!” putus Puan Jamilah. 
“Mana boleh macam tu mak.” Fahrin sudah kelam-kabut. Cemasnya menjadi. Yang tidak-tidak saja cadangan emaknya. 
“Kenapa?” 
Jegil mata Puan Jamilah buat Fahrin sedikit gerun. Langsung dia tidak berani bersuara lagi. Bimbang kalau terlebih cakap, mahu segala sofa, almari hiasan hinggap ke badannya. Oleh itu, lebih baik dia tidak menjawab. 
Puan Jamilah terus mendapatkan telefon yang terletak betul-betul di sebelahnya. Rasa Fahrin, emaknya bersungguh kali ini. Kalau tidak, kenapa secepat itu emaknya mendekati telefon. Langsung tidak menunggu esok, lusa atau minggu depan. Kejap itu juga emaknya bertindak. Nampak seperti emaknya terdesak benar hendak bermenantu. 
Puan Jamilah menghubungi seseorag kemudian bertanyakan nombor telefon kepada orang tersebut. 
Cepat-cepat Puan Jamilah menulis sesuatu di dalam buku yang tertulis nombor telefon. Selepas itu, Puan Jamilah membuat panggilan pada nombor yang diberikan sebentar tadi. 
Fahrin sudah mula bangun. Dia tidak mahu ambil tahu apa-apa. Biarlah. Terserah kepada suratan takdir. Kalau itu semua mampu menyenangkan hati emaknya, Fahrin akan akur saja. Hati emak lebih penting daripada hatinya. Hatinya, apalah sangat. Hanya sekeping hati milik seorang lelaki. Tidak terlebih, tidak terkurang dan tidak perlu pula hendak dijaga-jaga. Tetapi, siapa pula yang akan faham apa yang dia alami sekarang? Retak hatinya, luka perasaannya, siapa yang nampak? 
Fahrin ke bilik. Membawa retak, membawa luka. Rasa Fahrin, tidak lama lagi dia bakal membawa sengsara pula. Kelak sengsara itulah yang bakal dia usung ke hulu dan ke hilir. Dia merebahkan badan ke atas katil. Kemudian, memandang siling dengan pandangan kosong.
Bagaimana dengan cinta yang dipendam selama ini? Cinta yang sudah mekar kira-kira setahun lalu? Akan terkubur begitu sajakah? Jadi, apalah gunanya bersungguh dia jatuh cinta kalau kesudahannya harus begini? 
Gadis yang Fahrin sebut sebagai buah hati itu sangat ayu pada pandangan matanya. Berwajah manis walaupun nampak tidak begitu lembut. Tetapi, ada sesuatu yang Fahrin sangat-sangat berkenan pada gadis itu. Ternyata buah hatinya lain daripada yang lain. Jadi, tidak salah kalau perasaan sayang itu kian membara. 
Aduh! Semuanya kini nampak seperti sudah hancur berkecai. Emaknya sudah tiada istilah main-main. Emaknya bersungguh. Jadi, Fahrin tidak mampu untuk menaruh sebarang harapan lagi. Nanti bukan sedikit rasa sakit yang bakal dirasanya. Akan tidak tertanggung rasanya kerana yang sakit itu nanti bukanlah gigi atau kaki, tetapi hati. Hatinya akan sakit setiap kali terpandang akan buah hatinya. Buah hati itulah yang memperkenalkannya akan cinta dan rindu. Bila sudah ada cinta dan rindu, tentu akan ada rasa bahagia. Tapi sayang, bahagia itu hanya bersifat sementara. Terlalu sementara! 
Dalam melihat harapannya mula punah, Fahrin paksa juga matanya agar terpejam petang itu. Mana tahu dengan terpejam, semuanya bakal hilang. Baru hendak terlelap, emaknya sudah melaung dari tingkat bawah. 
“Apa lagi emak ni…” rungut Fahrin perlahan. Dalam terpaksa, dia bangun juga. 
Di ruang tamu sudah ada suara gelak tawa dan suara orang berbual. Bila Fahrin muncul, masing-masing menoleh ke arahnya. Seolah-olah dia turun tanpa berbaju. 
“Inilah anak tunggal saya, Fahrin.” Puan Jamilah memperkenalkan Fahrin kepada tetamunya. 
Fahrin tergamam ketika melihat raut wajah tetamu wanita. Bukankah itu emaknya si… Entah, dia sendiri tidak tahu nama buah hatinya itu. Tapi, dia yakin benar itulah emak buah hatinya. 
Ah! Silap hari bulan mungkin… Bila hati dan perasaan sudah jadi kabur, maka tak salah kalau mata turut sama jadi kabur juga. 
Fahrin mencium tangan kedu-dua tetamu itu lalu duduk bersebelahan tetamu lelaki dengan debar. Debar yang tiba-tiba saja menjalar ke seluruh perasaan. Jadi tidak tentu arah dan tertanya-tanya. Namun, di tengah-tengah semua itu, muncul pula satu perasaan yang semua orang gila bayang sebut sebagai harapan. Bermakna, dia belum lagi silap hari bulan. 
“Ingat lagi kita pernah jumpa mak cik ni kat majlis kahwin anak kawan mak?” soal Puan Jamilah kepada Fahrin. 
Tadi, hanya setakat debar, tidak tentu arah dan tertanya-tanya. Kini, muncul pula yang lebih hebat iaitu gelora. Cuma tidak ternampak dengan mata betapa besarnya gelora itu. Masakan dia boleh lupa kerana pada hari yang sama juga dia mengenali cinta. Fahrin berkira-kira dalam hati.
“Isy, mana dia ingat, jumpa pun baru sekali,” jawab Puan Zainab. 
Fahrin menjeling kawan emaknya itu. Dia tidak akan lupa. Sama sekali tidak. Lebih-lebih lagi kepada anak kawan emaknya itu. 
“Ingat lagi dengan anak dara mak cik ni?” soal Puan Jamilah sambil tersenyum. 
Fahrin kerutkan dahinya. Buat-buat mengingati sesuatu. Dalam hati dia bantai gelak. Gelak sakan. Hatinya sudah sebut dua, tiga kali, mana boleh dia lupa. Aduhai! 
“Hani macam mana sekarang?” soal Puan Jamilah kepada kawannya. 
Fahrin lihat pula emaknya. Hani? Nama dia Hani? Kenapa emaknya boleh tahu? Tak cakap pun namanya Hani. Emak ni…
“Hmm… Macam itulah,” jawab Puan Zainab lambat. 
Fahrin dengar seperti Puan Zainab mengeluh saja. Macam orang kecewa, tapi Fahrin tahu kecewa Puan Zainab itu adalah bunga harapan buat Fahrin pula. Ini mesti ada kena mengena dengan Hani. Kalau tidak, Puan Zainab tak akan cakap macam tu. 
“Dah ada yang punya ke belum?” terus Puan Jamilah bertanya tanpa berlengah lagi. 
Emak ni, main tanya terus. Tak menyabar betul! Fahrin menjeling Puan Jamilah. Tahu emaknya sudah tidak sabar-sabar. 
Ketika itu dada Fahrin makin berombak. Makin tidak tenang. Makin tidak tahu nak diam. Sesekali semua itu bagai saling bergasak sesama sendiri, membuatkannya susah pula hendak bernafas. 
“Hmm.. Nampak saya ni, simpan anak dara tualah jawabnya,” keluh Puan Zainab perlahan. 
Waktu itu Fahrin dah mula faham keadaan Puan Zainab. Jadi dia mula rasa yang dia bakal ada peluang. 
Mendengar jawapan Puan Zainab begitu, Puan Jamilah duduk tambah rapat. Dipegang tangan Puan Zainab dengan erat. “Apa kata kita jodohkan anak kita berdua? Kita berbesan.” 
Masa itu juga Fahrin hendak melompat, hendak saja terjerit-jerit. Kalau boleh, hendak melalak bagai penyanyi rock. Tetapi, masakan dia boleh begitu. Mahu emaknya terus tak mengaku anak. Jadi dia bersabar. Dia bertahan. Kalau nak buat apa pun tunggu orang balik dulu. 
“Milah bersungguh ke?” soal Puan Zainab pula. Juga nampak bersungguh. 
“Saya betul-betul ni…” 
“Milah saja yang bersungguh, tapi anaknya tak cakap apa-apa pun.” 
Kedua-dua wanita yang sakan berborak itu memandang Fahrin. 
“Fahrin setuju kalau dijodohkan dengan anak mak cik?” soal Puan Zainab. 
Fahrin diam. Konon-kononnya berfikir. Kalau dia terus melompat kata ya, mahu esok, lusa dia susah nak kenal hari kerana dipelangkung emaknya. Jadi, dia perlu berpura-pura berfikir agar emaknya tahu dia sedang menimbangkan sesuatu dengan akal fikiran. “Saya ikut saja mana yang baik.” Fahrin putuskan begitu. Tak mahu cakap lebih-lebih. Tak guna pun kalau dia cakap banyak. Takut ada yang tak faham pulak. 
“Jangan begitu. Yang nak kahwin Fahrin. Kalau dah ada pilihan sendiri, baik berterus terang.” Encik Hasyim tepuk bahu Fahrin. 
Itulah bakal ayah mertua Fahrin. Dia yakin sangat-sangat tentang itu. 
“Kalau ada pilihan sendiri, dah lama dia kahwin, Encik Hasyim. Ini sebab tak ada pilihan sendirilah terpaksa kami carikan,” jawab Encik Baharin. 
Fahrin tersenyum simpul. Malu berbaur suka. Dia tidak akan silap kali ini. Harapannya juga tidak jadi punah sama sekali. Sudah nampak bunga-bunga harapan bertunas semula. 
“Kalau begitu, harap rancangan kita ni menjadilah ya. Tapi, hendak ke Hani dengan anak kami ni?” 
Sekali lagi Fahrin menaruh harapan. Minta tiada yang menghalang apa-apa. Harap-harap orang di sana katakan ya juga. 
“Insya-Allah, jadi. Nanti pandailah kami. Lagipun, si Hani tu tak banyak kisah,” jawab Puan Zainab. 
Lapang hati Fahrin. Lapang selapang-lapangnya. 

MALAM itu Fahrin tidak lena tidur. Dia bagai tidak percaya dengan apa yang berlaku. Terfikir juga kenapa semudah itu, sedang dia merasa kepayahan hampir setahun lebih. Setahun lebih dia hanya berani memandang buah hatinya dari jauh. Setahun lebih ini dia hanya merindui buah hatinya dalam diam. Benar, dia terlalu banyak peluang untuk meluah rasa, namun semuanya bagai satu bebanan buatnya. Terlalu berat untuk berbicara, apatah lagi untuk membicarakan soal hati. 
Namun siang tadi, dengan sekelip mata semuanya berubah. Bagai mimpinya menjadi kenyataan. Mulanya susah juga untuk dia percaya, tetapi mungkin takdir masih berpihak untuknya kali ini. Tinggal lagi, setujukah buah hatinya? Hendakkah buah hatinya menerima dirinya seadanya? Dan kalau betul buah hatinya sudah berpunya, bagaimana?
“Aduh, macam mana aku nak tidur ni…” bebel Fahrin bila dirasakan semua perasaan-perasaan itu semakin seronok bermain dengannya. Makin berpusu-pusu semuanya minta perhatiannya. 
Fahrin masih gelisah di atas katilnya. Berpusing ke kiri terasa hendak ke kanan. Berpusing ke kanan rasa hendak terlentang pula. Kalau begini, alamat sampai ke pagi dia tidak boleh tidur.

No comments: